suria

ISA: Tiada temu janji, Istana enggan terima memo Pemuda Gerakan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 24 jam sebelum dua kumpulan mengadakan perhimpunan pro dan anti-ISA di ibu negara, Pemuda Gerakan telah cuba untuk menyerahkan memorandum memansuhkan akta itu kepada Istana Negara, petang tadi.

Bagaimanapun Istana Negara telah menolak daripada menerima memorandum atas alasan tiada temu janji lebih awal daripada pergerakan tersebut.

Sekumpulan 20 anggota Pemuda Gerakan yang diketuai oleh Ketuanya, Lim Si Pin berkumpul di kawasan Menara MAA dekat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka di sini.

Lim berkata, pihaknya mengambil langkah menyerahkan memorandum memansuhkan ISA hari ini kerana tidak mahu menyertai himpunan anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) esok yang dilihat tidak sah.

“Kita tahu bahawa demonstrasi oleh GMI esok adalah haram. Jadi Pemuda Gerakan tidak akan sertai demonstrasi esok," katanya kepada pemberita di sini hari ini. Kata beliau, pihaknya telah berusaha menyerahkan memorandum itu kerana masih menyokong GMI dalam usaha menggesa ISA dimansuhkan. Lim juga menafikan pihaknya menyokong Pakatan Rakyat, sebaliknya hanya mewakili suara rakyat.

“Ini menunjukkan betapa seriusnya kami mahu akta ini dikaji atau dimansuhkan. Ini maklum balas yang kami terima daripada rakyat dan wakili apa yang rakyat inginkan kepada Yang di-Pertuan Agong," katanya. Kira-kira 2.30 petang tadi pegawai polis mendekati Lim dan memaklumkan bahawa mereka tidak dibenarkan berarak ke Istana Negara, sebaliknya hanya boleh menggunakan kenderaan ke Jalan Istana.

Sebaik sahaja Lim dan rombongannya seramai lima orang tiba, pihak Istana mengatakan bahawa hanya seorang dibenarkan menemui pegawai Istana.

Lim bersetuju dan pergi ke kawasan Istana seorang diri.

Bagaimanapun pegawai istana telah menolak daripada menerima memorandum mereka kerana tiada surat permohonan untuk mengemukakan memorandum, kata Lim.

"Jadi kami akan menghantar permohonan rasmi bagi membolehkan memorandum diterima Yang di-Pertuan Agong kelak," katanya.

Artikel Lain