suria

BN akan tanding DUN Permatang Pasir

KUALA LUMPUR: Majlis Tertinggi (MT) Umno memutuskan parti itu akan meletakkan calon pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir.

Perkara itu diumumkan oleh Presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak sebentar tadi.

"Sesuai dengan pendirian kita bahawa sekiranya sesuatu kerusi kosong berkaitan dengan Perlembagaan maka Umno dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding.

"Oleh itu, dengan kekosongan akibat kembalinya ADUN Permatang Pasir ke rahmatullah bererti, Umno dan BN akan meletakkan calon dan akan bertanding di Permatang Pasir," katanya selepas mempengerusikan mesyuarat MT Umno hari ini.

Pilihan raya kecil DUN Permatang Pasir perlu diadakan berikutan kematian penyandang kerusi itu Datuk Mohd Hamdan Abdul Rahman, 63, daripada PAS.

Hamdan meninggal dunia akibat sakit jantung di Institut Jantung Negara (IJN) di sini pagi tadi.

Dalam perkembagan berkaitan, Najib berkata, mesyuarat MT Umno turut membincangkan mengenai post-mortem mengenai pilihan raya kecil DUN Manek Urai.

"Pada umumnya kita berpuas hati dengan usaha yang kita lakukan. Walaupun kita tidak berjaya tetapi pencapaian dan prestasi Umno sangat menggalakkan," katanya.

Ketika ditanya sama ada Umno akan memfailkan petisyen pilihan raya bagi membantah keputusan pilihan raya kecil DUN Manek Urai, Najib yang juga Perdana Menteri berkata:

"Kita tidak tentukan soal petisyen, kita serahkan kepada peguam Umno. Kalau kita buat petisyen pun mesti berdasarkan undang-undang dan peraturan pilihan raya."

Dalam pilihan raya kecil DUN Manek Urai pada 14 Julai lalu, PAS berjaya mengekalkan kerusi tersebut dengan majoriti tipis 65 undi.

Dalam pada itu, semua bahagian Umno diberi tempoh sehingga September ini untuk membuat ulasan dan mengemukakan cadangan balas terhadap pindaan perlembagaan parti.

Beliau berkata, cadangan pindaan daripada Biro Perlembagaan telah dihantar ke bahagian-bahagian untuk dibuat ulasan dan cadangan balas mereka akan dirumuskan apabila sampai pada masanya.

"Mereka telah diberikan satu tempoh, 16 Ogos baru habis mesyuarat bahagian, jadi kita bagi tempoh mungkin bulan September mereka boleh hantar (cadangan) dan kita boleh menghalusi apa cadangan balas daripada bahagian-bahagian itu.

"Maknanya pindaan perlembagaan pada persidangan (Perhimpunan Agung UMNO pada 13 Oktber) akan datang ini tetap akan kita lakukan," katanya.

Najib berkata, MT hari ini turut bersetuju mengenai penubuhan sembilan biro Umno yang setiap satunya dipengerusikan anggota MT Umno.

Sembilan biro berkenaan ialah Biro Latihan yang akan dipengerusikan oleh Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Biro Keahlian), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Biro Perlembagaan) dan Senator Datuk Dr Awang Adek Hussien (Biro Ekonomi).

Biro Pendidikan akan dipengerusikan Datuk Abdul Ghani Othman, Ahmad Maslan (Biro Penerangan), Datuk Mustapa Mohamad (Biro Hal Ehwal Institusi Pengajian Tinggi) dan timbalannya Datuk Saifuddin Abdullah.

Pengerusi Biro Agama ialah Senator Datuk Mejar Jen (B) Jamil Khir Baharom dan Datuk Ahmad Shabery Cheek (Biro Hal Ehwal Luar Negara dan Kelab Umno Luar Negara).

Artikel Lain