suria

Polis tahan empat lelaki, rampas dadah bernilai RM187,000

KUALA LUMPUR: Polis menahan empat lelaki termasuk seorang warga Thailand yang aktif dalam kegiatan curi kenderaan di sekitar Lembah Klang, di kawasan letak kereta sebuah kondominium mewah di Jalan Kuchai Lama, di sini Jumaat lepas.

Turut ditemui polis ketika membuat tangkapan kirakira 4 petang itu adalah pelbagai jenis dadah bernilai RM187,000 daripada empat suspek itu dan juga dalam kenderaan mewah yang dinaiki suspek.

Antara yang ditemui hasil pemeriksaan polis terhadap suspek ialah 162 gram dadah jenis syabu, 10 biji pil eramin 5, sejumlah 518 gram pil ecstacy dan empat bungkusan plastik lutsinar dipercayai dadah jenis ketamine berjumlah 3,970 gram.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Muhammad Sabtu Osman berkata siasatan awal mendapati empat lelaki yang berusia antara 27 dan 44 tahun itu bergiat dalam kegiatan curi kereta dan mengedar dadah di sekitar Lembah Klang sejak empat bulan lepas.

"Kesemua mereka positif dadah dan tiga daripada mereka mempunyai rekod jenayah," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini semalam.

Susulan daripada tangkapan itu, polis menyerbu ke sebuah unit kondominium yang dipercayai tempat tinggal lelakilelaki berkenaan dan menemui sepucuk pistol semi auto jenis P.Beretta dan satu kelopak magazine mengandung enam butir peluru, katanya.

Muhammad Sabtu berkata kesemua suspek kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga Jumaat ini dibawah Seksyen 117 Kanun Acara Jenayah untuk disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh membawa hukuman mati mandatori jika disabit kesalahan.

"Polis masih meneruskan siasatan bagi mengenalpasti individu lain yang terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah itu dan punca bekalan dadah diperolehi," katanya.

Sementara itu, Muhammad Sabtu berkata polis menemui semula sebuah kereta jenis BMW5 Series yang dilarikan dua suspek dalam kejadian samun Selasa lepas setelah kenderaan itu ditinggalkan di stesen LRT Bukit Jalil. Bagaimanapun, beberapa barang lain sempat dilarikan antaranya wang tunai RM8,000, telefon bimbit, kad ATM RHB Bank dan cek Alliance Bank.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan, katanya. BERNAMA

Artikel Lain