suria

Penahanan peguam: Suhakam adakan siasatan awam 14 Ogos ini

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) akan mengadakan siasatan awam selama tiga hari mulai 14 Ogos ini berhubung penahanan lima peguam oleh polis di sini, Mei lepas.

Siasatan terbuka itu akan dikendalikan oleh panel tiga anggota pesuruhjaya dengan dipengerusikan oleh peguam kanan Datuk Muhammad Shafee Abdullah, menurut kenyataan Suhakam di sini hari ini.

Dua lagi anggota panel tersebut ialah Datuk Dr Michael Yeoh Onn Kheng dan Datuk Dr Denison Jayasooria.

Pada 7 Mei lepas, lima peguam dari Pusat Bantuan Guaman Kuala Lumpur ditahan di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields di sini ketika hadir di situ untuk mewakili sekumpulan aktivis.

Lima peguam berkenaan Fadiah Nadwa Fikri, Murnie Hidayah Anuar, Puspawati Rosman, Ravinder Singh Dhalliwal dan Syuhaini Safwan dibebaskan pada petang keesokannya.

Kumpulan aktivis itu ditahan kerana membantah penangkapan Wong Chun Huat, seorang jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih), yang menganjurkan orang ramai memprotes persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari tersebut dengan berpakaian hitam.

Suhakam berkata siasatan awam itu terbuka kepada orang ramai dan media tetapi rakaman suara dan video oleh mana-mana pihak tetap dilarang.

Sesi siasatan itu akan bermula pada pukul 9.30 pagi hingga 5.30 petang di pejabat Suhakam, Tingkat 29, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut, di sini.

Siasatan itu dijalankan bagi menentukan antara lain sama ada wujud kewajaran untuk menahan lima peguam itu mengikut Seksyen 27 Akta Polis 1967 yang boleh dianggap satu pencabulan hak asasi.

Ia juga untuk memastikan sama ada penahanan itu merupakan satu penafian terhadap representasi undang-undang dan satu pelanggaran terhadap Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 28 Kanun Acara Jenayah.

Suhakam juga berkata sekiranya mendapati wujud pencabulan hak-hak asasi, panel itu juga ingin mengenal pasti pihak yang bertanggungjawab dalam insiden tersebut, bagaimana ia berlaku termasuk tatacara yang menyebabkan ia terjadi dan cadangan supaya perkara itu tidak berulang. BERNAMA

Artikel Lain