suria

Pemuda Pakatan serah memorandum gesa suruhanjaya siasat kematian Teoh

KUALA LUMPUR: Pemuda Pakatan Rakyat menyerahkan memorandum kepada Suhakam sebentar tadi menggesa kerajaan menubuhkan Suruhanjaya Diraja yang skopnya lebih luas bagi menyiasat kematian Teoh Beng Hock.

Pihaknya mahu suruhanjaya yang kini diadakan untuk melihat mekanisme urusan soal siasat SPRM, diperluaskan meliputi punca dan siapa yang bertanggungjawab atas kematian Setiausaha Politik kepada Exco Kerajaan Negeri Selangor minggu lalu.

Ia diserahkan kepada Pesuruhjaya Suhakam, Datuk N. Siva Subramaniam pada pukul 3 petang di sini.

Memorandum diserahkan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS, Nasrudin Hassan At-Tantawi dan Ketua Angkatan Muda Keadilan, Shamsul Iskandar Mohd. Akin.

"Keputusan kerajaan Suruhanjaya Siasatan Diraja yang terbatas kepada skop bagi menyiasat dan menilai kaedah yang diguna pakai SPRM semasa soal siasat yang dijalankan dan menentukan sama ada berlakunya pencabulan hak asasi manusia sewaktu Teoh disoal siasat sahaja.

"Oleh itu, Pemuda Pakatan menegaskan keputusan kerajaan mengehadkan peranan Suruhanjaya Diraja menunjukkan kerajaan tidak telus dalam menyelesaikan misteri kematian Teoh.

"Suruhanjaya itu perlu mempunyai peranan yang lebih besar dan tidak dihadkan dengan hanya tugas-tugas tertentu sahaja," kata memorandum yang diserahkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain