suria

Lelaki Sri Lanka ditahan bantu siasatan pembunuhan Krishnasamy

JOHOR BAHARU: Polis hari ini mengesahkan menahan seorang lelaki Sri Lanka berumur 39 tahun bagi membantu siasatan berhubung kes pembunuhan bekas Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Tenggaroh, Datuk S. Krishnasamy, awal tahun lepas.

Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Mohd Shariff berkata Sri Lanka Sam @ Mohammad Razue ditahan di sekitar kawasan Taman Ungku Tun Aminah, Skudai, pada pukul 9.50 malam, dua hari lepas.

Penahanan itu dibuat hasil maklumat orang ramai dan lelaki berkenaan kini direman sehingga 29 Julai untuk siasatan lanjut, katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Krishnasamy, 61, dijumpai mati dalam sebuah lif di bangunan MIC Johor di Jalan Segget di sini pada 11 Jan, tahun lepas, dengan kesan tembakan di bawah kening kirinya.

Seorang lelaki dilihat tergesa-gesa meninggalkan tempat kejadian dengan menunggang motosikal menuju ke Jalan Wong Ah Fook sejurus selepas Timbalan Pengerusi MIC Johor itu ditembak pada pukul 2.10 petang.

Polis sehingga kini telah menahan 13 orang dan merekod 51 keterangan dalam usaha menyelesaikan kes itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain