suria

Cubaan sepasang kekasih sembunyi dadah dalam kotak teh gagal

KUALA LUMPUR: Cubaan sepasang kekasih mengaburi pihak berkuasa dengan menyembunyikan dadah jenis Ecstasy dalam kotak teh gagal apabila taktik licik mereka terbongkar dan ditahan polis di kawasan Jalan Prima Off Jalan Kepong di sini.

Keduadua mereka yang berumur 35 dan 28 tahun ditahan pada 3 petang Khamis lepas, dipercayai anggota sindiket penghasilan dan pengedaran dadah Ecstasy yang berpangkalan di Muar, Johor.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata hasil pemeriksaan ke atas sebuah kotak berbentuk seperti beg berwarna hijau yang dibawa mereka, polis menemui 26 paket plastik berisi 2,600 pil disyaki dadah jenis Ecstasy.

"Mereka telah bergiat aktif mengedar dadah itu di sekitar Lembah Klang terutamanya di kelabkelab malam dan keduadua mereka juga didapati positif dadah," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata dadah yang dirampas bernilai RM104,000 dan pasangan itu ditahan reman untuk siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 selama seminggu bermula 17 Julai lepas.

Kang berkata dengan tangkapan itu, polis berjaya menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah di sekitar Johor dan Lembah Klang.

Pada Selasa lepas, polis Johor menahan empat orang termasuk seorang wanita warga China dipercayai anggota sindiket memproses dan menyeludup dadah Ecstasy di Muar serta merampas lebih 11,000 pil dan hampir 7,000 gram serbuk Ecstasy serta beberapa alat memproses dadah yang kesemuanya bernilai kirakira RM500,000.

Kesemua mereka yang berusia lingkungan 27 hingga 31 tahun itu ditahan di dua lokasi berasingan di sekitar Muar.

Kang berkata beberapa sindiket pengedaran dadah kini menggunakan pelbagai taktik bagi mengaburi pihak berkuasa seperti meletakkan dadah dalam tin minuman selain menyembunyikan dadah dalam roti bagi mengaburi pihak polis.

Sementara itu, dalam satu kes berasingan pada 20 Julai lepas, seorang pereka laman web dan DJ sebuah kelab malam antara tiga orang yang ditahan di kawasan Jalan Bukit Bintang di sini dan pelbagai jenis dadah yang dianggarkan bernilai RM9,380 berjaya dirampas.

Kang berkata pereka laman web yang berusia 30 tahun itu ditahan dalam bilik sebuah hotel di Jalan Alor pada pukul 4 pagi dan hasil pemeriksaan polis menemui 24 biji pil Ecstasy, satu paket plastik mengandungi ketulan disyaki Ecstasy (0.75 gram), satu paket plastik disyaki Syabu (1.85 gram) dan satu paket plastik disyaki Ketamin (0.62 gram).

Katanya susulan tangkapan itu, seorang DJ kelab malam berusia 23 tahun ditahan berhampiran hotel itu pukul 1.30 tengah hari pada hari yang sama dan polis merampas satu bungkusan kertas disyaki mengandungi Ketamin (13.49 gram) yang disorokkan dalam seluar dalam suspek.

"Hasil soal siasat ke atas suspek, polis menahan seorang lagi lelaki yang juga pemilik salun berusia 22 tahun di sebuah hotel di Jalan Bukit Bintang pada pukul 7 malam hari tersebut dan polis merampas 11 paket plastik lutsinar disyaki Ketamin (57.71 gram) serta 99 biji pil disyaki Ecstasy yang disorokkan di dalam seluar dalam suspek," katanya.

Beliau berkata hasil pemeriksaan ke atas kereta yang dinaiki suspek, polis menemui enam paket plastik disyaki Ketamin seberat 31.41 gram.

Kesemua mereka ditahan reman selama tujuh hari bermula 21 Julai lepas dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata dengan tangkapan itu, polis berjaya melumpuhkan kumpulan kecil pengedar dadah jenis sintetik yang menggunakan hotel-hotel mewah sebagai pusat pengedaran. BERNAMA

Artikel Lain