suria

Tee Keat sedih Jui Meng keluar MCA

IPOH: Presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, beliau sedih dengan keputusan bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Chua Jui Meng keluar daripada MCA dan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Bekas Menteri Kesihatan itu, kata Ong, adalah seorang yang berpengalaman dan adalah diharapkan keputusan politik yang diambilnya itu adalah bagi kebaikan rakyat.

Bercakap kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen MCA Perak di sini, Ong yang juga Menteri Pengangkutan berkata, persahabatan beliau dengan Chua tidak terjejas walaupun selepas perebutan jawatan presiden pada pemilihan parti tahun lepas.

Ditanya sama ada tindakan Chua merugikan MCA, beliau berkata, setiap hari ada orang yang menyertai parti itu dan juga keluar daripada parti.

Katanya, Chua telah membuat pilihan untuk menyertai pembangkang.

Ong berkata, beliau ada berjumpa dengan Chua dua hari lalu tetapi enggan menggulas apa yang dibincangkan apabila ditanya pemberita. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain