suria

Mayat pengutip tin dengan kesan tetakan di kepala ditemui

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki dengan kesan tikaman di tengah kepalanya ditemui di depan sebuah kuil berhampiran Sungai Bunus, Ayer Panas, Setapak di sini awal pagi semalam.

Ketua Polis Daerah Sentul ACP Zakaria Pagan berkata mayat lelaki berumur dalam lingkungan 50 hingga 60 tahun itu ditemui oleh orang awam yang melalui kawasan itu pada pukul 8.30 pagi.

"Kami menemui sebuah basikal milik mangsa dan satu bungkusan beg plastik yang mengandungi tintin minuman lama di sisi mayat itu," katanya.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu tidak mempunyai pekerjaan dan hanya mengutip besi buruk di sekitar Setapak dan tinggal seorang diri dengan menumpang sebuah tokong di Setapak.

Zakaria berkata tiada senjata ditemui ditempat kejadian dan mayat lelaki itu dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk dibedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta menghubungi RakanCop atau balai polis berhampiran bagi membantu siasatan, katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain