suria

Sembilan anggota geng seluk saku 'Mangkui' diberkas

KUALA LUMPUR: Polis menahan lima lelaki dan empat wanita anggota kumpulan penyeluk saku yang bergelar "Mangkui" semalam, dan masih memburu tiga lelaki serta dua wanita anggota kumpulan itu yang masih bebas.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi ACP Zulkarnain Abdul Rahman berkata semua anggota kumpulan itu adalah warga Filipina yang berumur antara 30 dan 53 tahun, dan salah seorang yang masih diburu adalah ketua kumpulan itu yang dipercayai masih berada dalam negara.

Beliau berkata empat anggota kumpulan itu diberkas di sebuah kondo mewah di luar kawasan Kuala Lumpur pagi semalam manakala lima lagi pada sebelah petang di dalam lif pasaraya pusat membeli belah The Mall di sini.

Katanya polis merampas dua komputer riba dan video kamera, empat kamera, lima pasport Filipina, 13 dompet wanita, dua beg pouch lelaki, lima surat pajak gadai bernilai RM4,165, tiga kad sim telefon bimbit, batu jed, dua jam tangan, mata wang asing pelbagai negara dan beberapa buah telefon bimbit dalam serbuan di kondo itu.

"Nilai kesemua barangan yang dirampas dianggar lebih RM30,000. Mereka yang ditahan akan direman selama 10 hari mulai hari ini, dan disiasat mengikut seksyen 279 Kanun Keseksaan," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini hari ini.

Zulkarnain berkata anggota sindiket itu yang datang ke Malaysia pada tahun 2006 menggunakan visa lawatan sosial, dan mereka dipercayai memiliki sembilan kondominium mewah di luar Kuala Lumpur.

Katanya kumpulan ini bergiat aktif di kawasan perhentian bas seperti di Lebuh Ampang, stesen LRT KLCC serta sekitar Bintang Walk, dan mangsa mereka biasanya terdiri daripada warga asing.

"Anggota sindiket itu biasanya akan keluar secara berkumpulan seramai lima atau enam orang dan akan menghampiri mangsa yang tidak sedar kehadiran mereka.

"Antara taktik yang akan digunakan oleh mereka adalah seperti berpura-pura terjatuh duit syiling, terpegang kaki mangsa dan membawa payung," tambahnya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain