suria

SPRM P.Pinang tahan perunding PBT minta sogokan RM350,000

PULAU PINANG: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Cawangan Pulau Pinang menahan seorang perunding kepada sebuah pihak berkuasa tempatan di sini semalam atas dakwaan meminta sogokan RM350,000 daripada seorang kontraktor.

Pengarahnya Latifah Md Yatim berkata lelaki berusia 50 tahun itu meminta wang berkenaan untuk memberikan perakuan beliau kepada projek menaik taraf Zon Perindustrian Bebas (FIZ) di Bayan Lepas di sini yang bernilai RM11 juta. Katanya dengan adanya perakuan kerja yang dikeluarkan perunding itu, bayaran terhadap kontraktor berkenaan boleh dipercepatkan.

"Kami tahan lelaki itu berhampiran dengan pejabatnya di Georgetown di sini semalam sebaik sahaja dia menerima wang RM350,000 daripada kontraktor terbabit sebagai rasuah," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata perunding itu pada mulanya meminta RM400,000 daripada kontraktor berkenaan tetapi selepas tawarmenawar, dia bersetuju mengurangkannya kepada RM350,000.

"Pengadu (kontraktor) kemudiannya membuat laporan berhubung perkara itu kepada SPRM dan kami dengan kerjasama kontraktor itu berjaya menahan perunding terbabit bersama wang sogokan yang diterimanya," kata Latifah.

Beliau berkata perunding itu dibebaskan pagi ini dengan jaminan RM50,000 dan dua penjamin selepas SPRM selesai mengambil keterangannya.

Katanya siasatan lanjut sedang dijalankan dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 16 (A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah 2009, yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun serta denda lima kali nilai suapan.

"Kertas siasatan berhubung kes ini dijangka siap dalam masa terdekat sebelum diserahkan kepada bahagian pendakwaan untuk tindakan selanjutnya," katanya.BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain