suria

Perangi kemiskinan juga tuntutan agama, kata Rahim Thamby Chik

KUALA KRAI: Usaha Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) memerangi kemiskinan di kalangan pekebun kecil juga sebahagian daripada tuntutan agama, kata Pengerusinya Tan Sri Rahim Thamby Chik.

Rahim berkata kerana itu Risda berterusan membantu pekebun kecil getah tanpa mengira fahaman politik, untuk membolehkan mereka keluar dari kepompong kemiskinan.

"Dari segi agama, kemiskinan adalah musuh kepada orang Islam. Kemiskinan boleh menyebabkan penindasan dan masalah sosial yang meruntuhkan masyarakat," katanya selepas menemui 50 peserta kursus formal teknikal tanaman semula anjuran Risda di Chuchoh Puteri, Manik Urai, di sini hari ini.

Rahim yang turun padang sempena "Hari Turun Ke Ladang Risda" disertai Timbalan Ketua Pengarah Risda Datuk Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengerusi Koperasi Pekebun Kecil Nasional Bhd (NARSCO) Datuk Jamaluddin Tot.

Beliau berkata program tanaman semula getah itu adalah projek berterusan Risda untuk membantu pekebun kecil meningkatkan pengeluaran mereka daripada 1,000 kg getah sehektar kepada 2,000 kg sehektar dalam tempoh setahun. Rahim berkata Risda memperuntukkan RM3 juta bagi projek tanaman semula melibatkan 300 hektar kawasan kebun getah di Manik Urai pada tahun ini.

"Peruntukkan keseluruhan bagi projek tanaman semula ini di seluruh negara pula mencecah RM73.4 juta setahun termasuk RM3.6 juta untuk membina prasarana," katanya.

Ditanya bagaimana Risda boleh membantu 3,400 pekebun kecil di Manik Urai selain bantuan kepakaran dan teknikal seperti baja dan benih, Rahim berkata Risda merancang untuk membina sembilan pusat simpanan dan timbang getah di seluruh negara.

"Antara negeri diberikan perhatian ialah Kelantan. Kita sedang mengkaji tempat yang sesuai di negeri ini, termasuk Kuala Krai," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain