suria

Hishammuddin sifatkan Hadi pemimpin tidak konsisten

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berpendapat Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai pemimpin yang tidak konsisten apabila mendakwa Umno gagal menjadi model perpaduan terbaik di kalangan orang Melayu.

"Kita renung kembali apa yang dicadangkan sendiri oleh Abdul Hadi sebelum ini (kerajaan perpaduan), tetapi apa yang jadi akhirnya. Kita pun boleh juga dakwa PAS bukan model perpaduan terbaik, dia yang cadang (kerajaan perpaduan) tapi akhirnya dia sendiri yang batalkan.

"Perkara ini (perpaduan) bukan hanya berkaitan dengan PAS atau Umno, ia berhubung kait dengan semua pihak. Jika kita ikhlas dan jujur kenapa perlu melabel pihak lain dengan andaian tertentu," katanya kepada pemberita di Lobi Parlimen di sini hari ini.

Hishammuddin yang juga Menteri Dalam Negeri berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan terbaru Abdul Hadi dalam ceramah perdana semalam di sini yang dilaporkan menyalahkan Umno dengan mendakwa parti itu gagal menjadi model perpaduan di kalangan orang Melayu dan rakyat negara ini.

Beliau berkata, apa yang penting bagi Umno sekarang ialah untuk terus memandang ke hadapan dan memastikan kepentingan serta kebajikan rakyat terus terbela dan terpelihara.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda Umno Khairy Jamaluddin pula berpendapat bahawa Anggota Parlimen Marang itu telah dipaksa untuk mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menunjukkan kesepakatan dalam pakatan pembangkang.

"Saya tidak lihat ucapan Abdul Hadi sepenuhnya, (tetapi) saya difahamkan beliau hanya berucap lima minit sahaja di perhimpunan semalam, sedangkan selama ini kalau berceramah dia boleh bercakap hingga berjamjam.

"Saya nampak ada paksaan dan dia terpaksa berlakon menyerang Umno untuk tunjukkan wujudnya kesepakatan dalam pakatan rakyat semalam. Saya sebenarnya tidak mahu komen sangat sebab saya tidak mengetahui apa yang sedang berlaku dalam pakatan, kalau nak serang balik, saya rasa tidak sihat," katanya. BERNAMA

Artikel Lain