suria

Najib: Tiada sambutan berlebihan untuk Kuan Yew

PUTRAJAYA: Malaysia tidak memberikan sambutan berlebihan kepada Menteri Mentor Singapura Lee Kuan Yew semasa beliau melawat negara ini selama lapan hari awal bulan ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya rasa beliau tidak diberikan lebih daripada apa yang layak diberikan kepadanya," kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas bercaup pada Persidangan Ketuaketua Perwakilan Malaysia di sini hari ini.

Najib juga berkata beliau tidak fikir bahawa Lee mahu mencampuri urusan dalaman Malaysia menerusi beberapa kenyataannya. "Saya rasa beliau tahu jika ada tanggapan yang beliau cuba campur tangan akan membawa kesan balas yang tidak baik.

"Lawatannya adalah untuk mengetahui situasi di Malaysia dan kita benarkan," kata Perdana Menteri.

Mengenai sama ada kenyataan Lee bahawa Pulau Pinang ketinggalan daripada segi pembangunan berbanding Perak adalah satu sindiran, Najib berkata secara keseluruhannya, Lee mahu melihat Malaysia berjaya dan stabil.

"Itu yang paling penting. Bagaimana beliau lakukannnya adalah mengikut caranya, dan kita harus akui bahawa setiap seorang itu adalah berbeza," katanya.

Dalam lawatannya bermula 9 Jun itu, Lee telah menghadap Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Sultan Perak Sultan Azlan Shah selain menemui Najib dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau juga berkunjung ke Perak, Pulau Pinang, Kelantan dan Pahang. BERNAMA

Artikel Lain