suria

Tiga lelaki didakwa tipu syarikat berhubung pembelian tanah

KUALA LUMPUR: Tiga lelaki mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap tuduhan menipu seorang pengarah syarikat berhubung sebidang tanah di Sungei Penaga Mukim Damansara Petaling yang kononnya ingin dijual oleh pemiliknya.

R. Jayasankar, 42, Kok Lai Heng, 37, dan Low Khim Seong, 41, didakwa bersama-sama menipu Chan Weoi Koon, 34, dengan memperdayakan beliau bahawa sebidang tanah di GM119 lOT 833 Sungei Penaga Mukim Damansara Petaling ingin dijual pemiliknya.

Menurut kertas pertuduhan, ia kemudian menyebabkan Chan menyerahkan sekeping cek UOB Bank bertarikh 20 Mei 2009 dengan nilai RM73,500 kepada seorang lelaki iaitu Wee Wan Heng, 37, yang bertindak sebagai agen dan masih bebas.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di hadapan Pejabat Tam & Faizal Advocates & Solicitors, Unit 110 1st Floor Straits Trading Building 2 Leboh Pasar Besar, pada 10 Jun 2009.

Bagi kesalahan berkenaan, mereka didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga 10 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Mohd Hafiz Mohd Yusof menawarkan ikat jamin sebanyak RM50,000 bagi setiap tertuduh.

Bagaimanapun peguam bela J. Kuldeep Kumar, yang mewakili Jayasankar dan Kok, memohon agar mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah atas alasan jaminan dikenakan hanyalah untuk memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah.

Katanya jika jumlah ikat jamin tinggi dikenakan ia seolaholah menghukum tertuduh.

Hakim S.M Koomathy Suppiah kemudian menetapkan ikat jamin sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin terhadap setiap tertuduh dan menetapkan 16 Julai untuk sebutan semula kes.

Low diwakili peguam bela K. Theivaendran. BERNAMA

Artikel Lain