suria

Rangka wanita yang ditemui adalah mangsa bunuh

IPOH: Polis percaya satu rangka manusia yang lengkap berpakaian ditemui di sebuah kebun kelapa sawit di Batu 11, Jalan Bidor, Teluk Intan, Sabtu lepas adalah mangsa bunuh.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Goh Kok Liang berkata berdasarkan bedah siasat pakar forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun hari ini, polis percaya ia adalah rangka seorang wanita.

Beliau berkata bedah siasat itu membawa kepada penemuan kesan kecederaan akibat tikaman di bahagian dada wanita berkenaan, yang dianggarkan berumur antara 30 dan 40 tahun.

"Polis mengklasifikan ia sebagai kes bunuh yang disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Goh seterusnya meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kes itu supaya menghubungi Balai Polis Teluk Intan dengan menelefon 056212222 untuk membantu siasatan.

Rangka wanita itu ditemui tiga beradik ketika mereka sedang mencari pucuk paku di kebun kelapa sawit berkenaan pada pukul 1 tengah hari Sabtu lalu, dan selepas diperiksa, polis menemui sebuah beg tangan yang mengandungi sekeping surah yasin berhampiran wanita itu.

Pada mulanya polis mengklasifikasikan kes ini sebagai mati mengejut, tetapi bedah siasat hari ini mendapati ia mempunyai unsur jenayah. BERNAMA

Artikel Lain