suria

Lelaki nyaris maut ditetak 5 lelaki

KUANTAN: Seorang lelaki nyaris maut selepas cedera parah ditetak lima lelaki bersenjatakan sebilah parang di hadapan rumahnya di Lorong Semambu Baru di sini, Ahad.

Kejadian berlaku di hadapan isteri dan anaknya apabila mereka keluar rumah selepas terdengar bunyi bising ekoran pergaduhan yang tercetus antara lelaki itu dengan lima lelaki lain yang tidak dikenali pada kira-kira pukul 10.30 malam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pahang ACP T.Narenasagaran berkata lelaki berumur lingkungan 30-an yang cedera parah di bahagian muka dan badan itu kini dirawat di Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan.

Beliau berkata pergaduhan dipercayai tercetus apabila seorang suspek datang untuk mengambil motosikal miliknya namun lelaki itu enggan menyerahkan motosikal tersebut, menyebabkan suspek terus memanggil beberapa rakannya.

Katanya lima suspek berumur antara 20-an dan 30-an yang bersenjatakan parang kemudiannya bertindak ganas menyerang lelaki itu, dan mereka kemudian melarikan diri dengan sebuah kereta selepas melihat keadaan lelaki itu yang parah dan berlumuran darah.

"Isteri lelaki itu membuat laporan polis sejurus selepas menghantar suaminya untuk menerima rawatan di HTAA dan, polis sehingga ini sudah mengenal pasti identiti dua daripada lima suspek," katanya ketika ditemui pemberita di sini hari ini. BERNAMA

Artikel Lain