suria

Jangan buat spekulasi tahanan mati dalam lokap

KUALA LUMPUR: Polis meminta orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kematian mengejut seorang lelaki A.Ganana Prakasom ketika ditahan di lokap Balai Polis Damansara di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata polis sedang menunggu laporan bedah siasat dari Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) bagi mengetahui punca sebenar kematian lelaki itu.

"Hasil siasatan awal, didapati tiada 'foul play'...walau bagaimanapun kita kena tunggu (laporan) 'post mortem' yang dijalankan untuk mengetahui punca sebenar kematian," katanya kepada pemberita di sini semalam. Ganana, 53, ditahan reman sejak empat hari lepas bagi membantu siasatan kes pecah rumah di Sungai Buloh, ditemui mati dalam tandas lokap balai itu kira-kira jam 8 pagi ini oleh anggota yang bertugas.

Arjunaidi berkata, mangsa ditemui dalam keadaan terbaring dan sudah meninggal dunia, bagaimanapun siasatan awal mendapati tiada terdapat sebarang kecederaan pada badan suspek.

Ekoran itu, Arjunaidi berkata mayat dihantar ke PPUM untuk bedah siasat dan polis telah menghubungi keluarga mangsa bagi membuat pengesahan dan pengecaman mangsa.

Mangsa yang telah berkahwin dan mempunyai enam orang anak itu turut mempunyai sembilan rekod jenayah termasuk kes dadah, mencuri dan pecah rumah di sekitar Lembah Klang, katanya. BERNAMA

Artikel Lain