suria

Mahkamah: Tiga tertuduh amal ajaran Ashaari untuk hidupkan si mati

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu tiga remaja bersaudara yang didakwa membunuh pasangan suami isteri pada Hari Raya Aidilfitri tahun lepas mengamalkan ajaran Abuya Ashaari Muhamad.

Timbalan Pendakwa Raya Aidatul Azura Zainal Abidin berkata berdasarkan keterangan beberapa saksi, pembunuhan yang dilakukan oleh Muhammad Ilyas Abdul Razak, 22, Muhamad Fauzi Abdul Razak, 21 dan Muhammad Nizam Mohd Ibrahim adalah bermotifkan rasa kepercayaan mereka bahawa orang yang mati boleh dihidupkan semula.

Dalam ucapan pembukaannya itu, Aidatul Azura berkata motif pembunuhan itu akan dibuktikan menerusi rakaman klip video yang akan dikemukakan semasa perbicaraan kelak.

"Pihak pendakwaan akan membawa keterangan dari saksi awam yang akan membuktikan niat dan perbuatan tertuduh sehingga berlakunya pembunuhan tersebut. Bukti juga akan dikemukakan melalui rakaman klip video di mana rakaman tersebut dibuat melalui telefon bimbit milik Muhammad Nizam.

"Rakaman klip video tersebut menunjukkan beberapa adengan, transaksi dan perbuatan susulan selepas keduadua si mati dipukul. Rakaman klip video ini dibuat secara bergilir-gilir oleh mereka," katanya.

Muhammad Ilyas dan Muhammad Fauzi merupakan adik beradik dan sepupunya Muhammad Nizam Mohd Ibrahim didakwa bersama-sama membunuh bapa tertuduh ketiga (Muhammad Nizam) Mohd Ibrahim Kader Mydin, 48, dan ibunya Rosina SM Mydin Pillay, 42, di rumah No 57C, Blok A, Flat Seri Sarawak, Jalan Kenanga, di sini pada 1 Okt 2008 antara jam 12 tengah hari hingga 8 malam.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Selain itu, Aidatul Azura berkata pihak pendakwaan akan membuktikan bahawa bendabenda seperti topi keledar, meja kayu, kaca serta batang pengelap lantai telah digunakan oleh mereka untuk memukul ahli keluarga mereka sendiri sehingga akhirnya menyebabkan kematian terhadap Mohd Ibrahim dan Rosina.

"Di dalam kes ini, tertuduh pertama bertindak sebagai ketua yang memberi arahan kepada tertuduh kedua dan ketiga untuk memukul anggota badan ahli keluarga mereka yang berada di tempat kejadian pada ketika itu.

"Kejadian berlaku pada hari raya pertama Aidilfitri iaitu pada 1 Okt 2008. Kesemua ahli keluarga yang menjadi mangsa akibat dipukul oleh tertuduh adalah seramai tujuh orang termasuk kedua-dua si mati," katanya.

Tambahnya laporan bedah siasat telah mengesahkan bahawa punca kematian keduadua mangsa adalah 'kecederaan di kepala akibat pukulan dengan objek tumpul.

Sementara itu, saksi pertama yang dipanggil untuk memberikan keterangan pada pada hari pertama perbicaraan kes itu hari ini, seorang sukarelawan Jabatan Pertahanan Awam, V. Vickeneswaran berkata ketika beliau masuk ke rumah tempat kejadian, beliau melihat lantai telah dibersihkan tetapi terdapat beberapa percikan darah di bahagian dinding serta berbau hanyir.

'Mula-mula masuk rumah saya nampak dua mangsa, seorang pak cik berumur, seorang perempuan dan dua orang budak lelaki. Saya tidak usik apa-apa. Saya lihat dua mayat di ruang tamu iaitu seorang mayat lelaki di atas kerusi sofa dan seorang mayat perempuan di bahagian bawah kerusi sofa," katanya ketika pemeriksaan utama oleh Aidatul Azura.

Vickeneswaran berkata selepas ke ruang tamu, dia kemudiannya bergerak ke sebuah bilik (disebut bilik kedua) dan berjumpa dengan dua orang perempuan (seorang yang telah berumur dan seorang lagi gadis remaja) dan seorang lelaki remaja yang mengalami kecederaan di bahagian belakang kepala dan lebam pada matanya.

Katanya, di sebuah bilik lagi (disebut bilik pertama) seorang remaja perempuan pula terbaring dan mengalami kecederaan parah.

Sepanjang prosiding, ketiga-tiga tertuduh yang berada di kandang tertuduh kelihatan bersahaja dan sesekali tersenyum sesama mereka.

Perbicaraan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah disambung esok.

Ketiga-tiga tertuduh diwakili peguam Supramaniam Kasia Pillay manakala Aidatul Azura dibantu oleh Timbalan Pendakwa Raya Anselm Charles Fernandis. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain