suria

Seorang lagi suspek kes Ah Long direman untuk bantu siasatan

KUALA LUMPUR: Seorang suspek kes Ah Long yang ditahan semalam direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu polis berhubung siasatan kes penahanan tiga lelaki di Bukit Serdang hujung bulan lepas.

Suspek berusia 27 tahun itu, dipercayai anggota kumpulan Ah Long Kristal9 (K9) yang kini dalam persembunyian akibat sedang diburu polis.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Abdul Rahim Abdullah ketika dihubungi Bernama hari ini berkata polis akan terus memburu lima lagi ahli kumpulan itu yang masih bebas.

"Polis akan terus mengesan sakibaki anggota kumpulan itu sehingga mereka tertangkap semuanya dan operasi tersebut akan dijalankan secara berterusan dan bersepadu dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Negeri Selangor dan Bukit Aman," katanya.

Semalam suspek terbabit ditahan di rumahnya di Taman Lagenda Mas, Batu 8 1/2, Jalan CherasKajang, dekat sini kirakira pukul 2 petang dan polis turut merampas sebuah kereta Proton Wira yang dipercayai dicuri.

Sehingga hari ini tujuh suspek Ah Long telah ditahan dan lima lagi masih bebas termasuk ketua kumpulan K9 yang dikenali Franco berumur 27 tahun.

Pada hujung Mei lalu tiga lelaki (mangsa Ah Long) yang ditemui polis dirantai dan dikurung di sebuah premis di Bukit Serdang didapati hanya diberi makan sebuku roti setiap dua minggu.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan kerana pemerasan dan Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana mengurung secara salah. BERNAMA

Artikel Lain