suria

Polis teliti CCTV jejak empat lelaki rompak kedai emas

KUALA LUMPUR: Polis sedang meneliti paparan kamera litar tertutup (CCTV) bagi menjejaki empat lelaki tempatan yang terbabit dalam rompakan kedai emas di Jalan Meranti 1A, Ligamas, Batang Kali dekat sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata polis sedang mengenalpasti kesemua suspek terbabit berdasarkan CCTV yang dipasang di sekitar premis itu.

"Hasil siasatan polis juga mendapati kedai emas berkenaan kerugian hampir RM10,000 dalam kejadian tersebut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini.

Dalam kejadian pukul 2 petang itu, suspek yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 35 tahun melarikan diri dengan sebuah kereta Proton Waja warna kelabu selepas merompak kedai emas terbabit.

Bagaimanapun kirakira 20 minit selepas kejadian, polis menemui kenderaan yang digunakan suspek ditinggalkan di Ladang Guru Nanak, Batang Kali, dekat sini.

"Kereta yang digunakan suspek itu juga adalah kereta curi. Ini kerana semakan yang dibuat terhadap casis (nombor siri enjin), kenderaan itu pernah dilaporkan hilang di Kepong awal tahun ini.

"Kita juga tidak menolak kemungkinan suspek melarikan diri menggunakan kenderaan lain kerana takut dikesan," kata Hasnan. BERNAMA

Artikel Lain