suria

Ops Rentap pantau peraih dan pengusaha kedai emas di Kelantan

TUMPAT: Kajian polis Kelantan mendapati kegiatan ragut dan rompak yang berlaku di negeri itu mempunyai kaitan dengan sikap peraih emas dan pengusaha kedai pajak gadai. Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Mazlan Lazim berkata kebanyakan hasil yang diperolehi daripada kejadian rompak di Kelantan akan dijual kepada peraih emas serta kedai pajak gadai bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

Beliau berkata kebanyakan peraih dan pengusaha kedai pajak gadai ini pula didapati mengambil sikap lepas tangan dan membeli barang-barang kemas tanpa rasa bersalah walaupun sedar barang itu adalah hasil kegiatan jenayah.

Katanya semalam Polis Kelantan melancarkan Ops Rentap dalam usaha mengumpul maklumat mengenai semua peraih emas serta kedai pajak gadai di seluruh negeri bagi memudahkan pemantauan terhadap kegiatan jual beli barang yang disyaki hasil kegiatan jenayah.

"Menerusi Ops Rentap selama sebulan itu, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Kelantan dengan kerjasama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) akan menemui semua peraih emas serta pengusaha pajak gadai bagi mengumpul maklumat mengenai operasi masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas Majlis Jamuan Perpisahan Serah dan Terima Tugas daripada pemangku Ketua Polis Daerah Tumpat, Supt Othman Nayan kepada Supt Khalid Munap di sini hari ini.

Mazlan berkata menerusi pengumpulan data setiap peraih dan kedai pajak itu, pihaknya akan dapat mengetahui segala bentuk jual beli yang dijalankan mereka dengan pembeli atau penjual.BERNAMA

Artikel Lain