suria

PKFZ: Pengerusi PKA buat laporan SPRM hari ini

PELABUHAN KLANG: Pengerusi Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Lee Hwa Beng berkata, beliau akan membuat laporan dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung laporan audit terhadap projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan pengendali projek itu, PKFZ Sdn Bhd, hari ini.

Katanya beliau akan mengemukakan laporan itu ke pejabat MACC di Putrajaya pada pukul 8 pagi seperti yang diarahkan oleh Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat.

Lee berkata demikian pada sidang akhbar bersempena dengan pengumuman laporan bertajuk: "Semakan Kedudukan Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd" yang dibuat oleh firma audit antarabangsa, PricewaterhouseCoopers (PwC), di sini semalam.

"PKA tidak mempunyai kuasa untuk menyiasat. Anda baca blog menteri (Ong) tentang apa yang dia mahu saya lakukan," katanya.

Lee berkata bagi memastikan ketelusan, laporan oleh PwC itu boleh didapati sepenuhnya dengan melayari laman web www.pkareport.com untuk diakses oleh orang ramai selama dua minggu mulai hari ini hingga 10 Jun, 2009.

Hab pindah kapal PKFZ seluas 405 hektar itu, yang menempatkan gudang, blok pejabat dan hotel bertaraf empat bintang, diselubungi kontroversi selepas didedahkan bahawa kos pembangunannya melambung tinggi daripada kos asalnya yang kurang dari RM2.5 bilion meningkat kepada RM4.6 bilion.

Sementara itu, Ong hari ini berkata satu salinan laporan audit PKFZ, yang didedahkan untuk tatapan umum semalam, juga akan dikemukakan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC).

"Kementerian saya bukan sahaja komited untuk laporan itu dikeluarkan tetapi juga bertekad memastikan bahawa kami dapat mengambil segala langkah untuk mencari jalan penyelesaian kepada masalah ini mengikut bidang kuasa kami," kata Ong dalam blognya di www.ongteekeat.net.

Katanya pengeluaran "Semakan Kedudukan Projek Zon Bebas Pelabuhan Klang dan Port Klang Free Zone Sdn Bhd" itu hanyalah bahagian kecil daripada tugas yang dilakukan.

"Kami sekarang ini perlu bertindak dengan serius terhadap penemuan dalam laporan itu untuk memastikan bahawa kepentingan orang ramai adalah dilindungi sepenuhnya dan kerajaan ini menunaikan apa yang dijanjikan," katanya.

Lee dari PKA berkata, 15 set apendiks laporan itu boleh diperoleh untuk tatapan umum di pejabat PKA di sini semasa waktu pejabat selama dua minggu mulai hari ini.

Katanya PwC telah menetapkan tiga syarat sebelum pengeluaran laporan untuk tatapan awam boleh dibuat bahawa laporan itu tidak boleh digunakan, ia tidak boleh dijadikan sandaran untuk membuat sebarang kesimpulan, dan tidak menjadi kewajipan kepada PwC untuk memberikan maklum balas kepada sebarang pertanyaan.

Kata Lee: "PwC telah menyediakan laporan ini untuk Lembaga Pelabuhan Klang. Tugas yang dipertanggungjawabkan mereka hanyalah kepada PKA dan PwC tidak mempunyai tugas yang dipertanggungjawabkan kepada manamana pihak yang lain."

Apabila ditanya mengapa hanya tempoh dua minggu diberikan kepada orang ramai untuk membacanya, beliau berkata ia adalah memadai dan PKA telah menyewa pelayan dari pihak luar bagi laman web mereka.

Katanya PKA tidak memuat naik apendiks dalam laman web itu memandangkan terdapatnya terlalu banyak helaian.

Ong, dalam blognya juga berkata beliau telah mengarahkan PKA, yang mengawal selia projek PKFZ, untuk mengambil tindakan mengikut empat bahagian.

Ong mahu menggunakan peruntukan undang-undang untuk mengatasi kekurangan dari segi terma kontrak dan tindak-tanduk yang menyalahi peraturan, untuk mendapatkan nasihat profesional mengenai penyusunan semula obligasi kewangan PKA, untuk memperbaharui dan mengetatkan isu tadbir urus pada peringkat pengurusan dan lembaga pengarah dan untuk memperkemaskan lagi pengurusan PKFZ hari ke hari supaya dapat memperkukuhkan lagi operasinya dan pulangan kewangannya.

Laporan itu pada awalnya dijadualkan dikeluarkan pada 6 Mei tetapi ia terhalang disebabkan telah didedahkan bahawa para pengarah bebas PwC terpaksa akur kepada syarat pengeluaran laporan itu satu surat tanggung rugi diperlukan daripada PKA sebelum laporan itu boleh dikeluarkan.

Susulan dari itu, PKA mendapatkan nasihat undangundang dan satu surat tanggung rugi kemudian dikeluarkan kepada PwC. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain