suria

The Star sasar segmen dalam talian sebagai sumber baru

PETALING JAYA: Star Publications (M) Bhd mensasarkan segmen dalam taliannya sebagai aliran pendapatan baru untuk syarikat.

Timbalan pengerusi eksekutifnya, Datuk Clement Hii Chii Kok berkata syarikat telah mengemukakan tiga permohonan untuk mendapatkan status Koridor Raya Multimedia untuk anak-anak syarikatnya.

"Sebaik sahaja kelulusan itu diperolehi, kami akan melaksanakan rancangan kami secara agresif," kata beliau dalam taklimat media selepas mesyuarat agung tahunan syarikat di sini hari ini.

Beliau menjangka mendapat kelulusan itu secepat mungkin.

Hii berkata pada masa ini, sumbangan dari segmen dalam talian kepada pendapatan syarikat adalah sedikit berbanding segmen cetakan.

Beliau berkata ini akan berubah dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang. Pada masa ini, laluan untuk dalam talian Star ialah 54 juta "pageviews" sebulan.

Mengenai rancangan Star untuk memperkenalkan akbhar berbahasa Melayu, Hii berkata syarikat masih lagi menimbangnya.

Beliau berkata syarikat mempunyai lesen untuk menerbitkan akhbar Berbahasa Melayu.

"Kami masih belum membuat sebarang keputusan. Kami masih mempertimbangkannya," kata beliau.

Pada masa ini, Star mempunyai portal berita berbahasa Melayu yang dilancarkan pada tahun 2005. BERNAMA

Artikel Lain