suria

Isu Lo'lo: Menteri tidak perlu maklum wakil rakyat mengenai lawatan

KUALA LUMPUR: Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin tidak perlu memaklumkan kepada Ahli Parlimen sebelum beliau melakukan lawatan mengejut ke sesuatu kawasan, kata Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan Datuk M. Saravanan hari ini. "Lawatan mengejut ini dibuat bagi membolehkan menteri meninjau apa yang berlaku di lapangan.

"Apa ertinya lawatan mengejut jika semua orang dimaklumkan mengenainya? Kami berusaha untuk memperbaiki kehidupan rakyat. Tolong, jangan politikkan perkara remeh, yang tidak memberi faedah kepada sesiapa, kecuali untuk kepentingan politik peribadi," katanya kepada Bernama hari ini.

Saravanan berkata demikian bagi mengulas tindakan Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo' Lo' Ghazali dari PAS menyelar Raja Nong Chik kerana tidak memaklumkan kepadanya tentang lawatan mengejut menteri itu ke Keramat Mall di sini pada 21 Mei.

Pada sidang akhbar di ibu pejabat PAS semalam, Dr. Lo' Lo' mendakwa beliau telah bersemuka dengan Raja Nong Chik tentang apa yang beliau sifatkan sebagai sikap menteri itu yang tidak berhemah kerana tidak memaklumkan kepadanya tentang lawatan mengejut itu, dan jawapan kurang enak yang disuarakan oleh Raja Nong Chik kepadanya pada hari berkenaan.

"Saya pergi ke merata tempat dan saya tak perlu beritahu awak semuanya. Sekarang, saya nak ke tandas, perlukah saya tanya sama ada awak nak ikut sama?," demikian dikatakan bunyi jawapan Raja Nong Chik kepada Dr. Lo'Lo' seperti yang dipetik oleh sebuah portal berita semalam.

Dr. Lo'Lo' berkata beliau "terkejut dan tergamam" dengan reaksi Raja Nong Chik itu serta berasa malu kerana komen menteri itu dapat didengar oleh ramai anggota rombongan menteri itu yang terdiri daripada para pegawai kementerian berkenaan dan Dewan Bandar Raya.

Dr. Lo' Lo' berkata, walaupun Raja Nong Chik telah memohon maaf kepadanya pada satu majlis berasingan pada hari yang sama, tetapi beliau perlu menyuarakan isu itu bagi mengelaknya daripada berulang dan komen menteri berkenaan mengandungi unsur-unsur gangguan seksual.

Kata Saravanan: "Menteri berkenaan telah memohon maaf kepadanya (Dr. Lo' Lo') tentang perkara itu, jadi tak ada sebab lagi untuk beliau mengadakan sidang akhbar bagi menghebahkan isu itu. Ini bukan suatu kes sensitif berkaitan gender, tapi lebih merupakan suatu muslihat politik.

"Menteri berkenaan akan memberi komen serupa sekiranya pertanyaan serupa disuarakan oleh Ahli Parlimen lelaki. Saya minta Ahli Parlimen pembangkang agar tidak mempolitikkan semua perkara.

"Kini, kita tahu dengan jelas bahawa mereka akan mempolitikkan apa saja. Hentikanlah retorik seperti ini dan mulalah bekerja untuk rakyat kerana itulah sebab utama kita berada di sini," katanya. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain