suria

Pembebasan tahanan tiada kaitan pemansuhan ISA

PELABUHAN KLANG: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata pembebasan 13 tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), termasuk tiga pemimpin kumpulan haram, Hindraf hari ini tiada hubung kait dengan desakan untuk memansuhkan akta itu.

Beliau berkata sebaliknya pembebasan tahanan ISA dibuat mengikut suasana dan keadaan tertentu.

"Sekiranya mereka tidak dilihat sebagai ancaman kepada negara sebab itu kita akan bebaskan mereka. Ini tidak ada hubung kait langsung dengan akta (ISA) yang sedang kita tengok dan teliti," katanya ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Majlis Sambutan Perayaan Chitarai Pournami Tahun ke-21 2009 di sini, Sabtu malam.

Hishammuddin diminta mengulas sama ada pembebasan kesemua tahanan ISA hari ini sebagai isyarat bahawa kerajaan akan memansuhkan akta itu.

Mengenai penerimaan rakyat terutama masyarakat India terhadap pembebasan tiga pemimpin Hindraf, Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) kawasan Kota Alam Shah, M. Manoharan, 48; K. Vasantha Kumar, 36; dan P.Uthayakumar, 47; beliau berkata sambutan yang diterima bukan sahaja luar biasa tetapi amat mesra sekali.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang untuk membebaskan baki tahanan ISA yang masih berada di Kem Tahanan Kamunting, Perak, Hishammuddin berkata: "Yang lain tak ramai lagi dah. Kita berdepan dengan pelbagai cabaran seperti cabaran ekonomi, cabaran hubungkait dengan iklim yang tidak menentu dan cabaran untuk kita bina sebuah negara yang bersatu padu.

"Jadi dalam hal ini penting dalam suasana lanskap dunia yang cukup mencabar ini kita bersama-sama bersatu di bawah satu Malaysia di mana kita bukan sahaja mengutamakan prestasi tetapi rakyat yang akhirnya akan tentukan masa depan anak-anak kita diberikan keutamaan," katanya.

Selain tiga tahanan itu, yang lain turut dibebaskan ialah Zulkepli Marzuki, Jeknal Adil, Admi Pindatun selain dua tahanan warga negara Indonesia iaitu Zainun Rasyid dan Aboud Ghafar Shahril, serta lima tahanan warga negara Filipina terdiri daripada Sufian Salih, Hasim Talib, Abdul Jamal Azahari, Yusof Mohd Salam dan Husin Alih.

Tahanan lain itu dipercayai terbabit dalam gerakan militan Jemaah Islamiah dan Darul Islam. BERNAMA

Artikel Lain