suria

Majistret terkilan peguam mabuk ketika memandu

KUALA LUMPUR: Seorang peguam yang mengaku bersalah memandu dalam keadaan mabuk awal hari ini ditegur oleh Majistret Zura Syazween Hamizan hari ini kerana tidak mematuhi undangundang sedangkan dia mempunyai pengetahuan dalam bidang itu.

"Saya terperanjat apabila saya mengetahui pekerjaan kamu, dan amat terkilan kerana kamu adalah seorang yang berjawatan serta mempunyai pengetahuan tentang undang-undang.

"Kamu sepatutnya berasa malu dengan diri sendiri kerana kamu adalah orang yang paling bagus untuk masyarakat mencontohi kamu," katanya sebelum menjatuhkan hukuman denda RM3,000 atau penjara 10 hari terhadap Eugene Tan Su Chuan, 36.

Zura Syazween berharap hukuman ini dapat menginsafkan Tan.

Tan didakwa memandu sebuah kereta di mana kandungan alkohol dalam badannya melebihi had yang dibenarkan, dari arah Jalan Damansara menghala ke Jalan Taman Tun Dr Ismail, pada 2 pagi tadi.

"Saya tahu ini akan mengakibatkan kecederaan bukan saja kepada diri saya tetapi pengguna jalan raya yang lain, saya sangat menginsafi apa yang telah berlaku," kata Tan.

Pendakwaan dilakukan oleh Cif Insp Abdullah Said. BERNAMA

Artikel Lain