Hindraf mahu Mano kekal ADUN, pertikai peranan Pakatan - Semasa | mStar

Hindraf mahu Mano kekal ADUN, pertikai peranan Pakatan

PETALING JAYA: Pertubuhan Hindraf yang telah dibubarkan, mahu salah seorang pemimpin yang masih ditahan di Kamunting, M. Manoharan kekal sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah.

Pada waktu yang sama, Hindraf mempersalahkan Pakatan Rakyat kerana tidak mengambil usaha yang menyeluruh untuk membebaskan Manoharan daripada tahanan bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

"Kami merayu kepada Manoharan supaya mempertimbangkan semula keputusannya (yang kini serius mempertimbangkan untuk mengosongkan kerusi DUN).

"Penduduk di Kota Alam Shah tahu siapa yang mereka mengundi apabila memilih Manoharan sebagai wakil mereka," kata Pengerusi Hindraf, P. Waythamoorthy dalam satu kenyataan hari ini.

Kata beliau, Hindraf percaya bahawa pengundi Kota Alam Shah telah bersedia untuk menghadapi keadaan yang dilalui sekarang apabila wakil rakyat mereka tidak dapat bersama mereka secara fizikal kerana ditahan di bawah ISA.

"Oleh kerana pengundi berada 100 peratus berada bersama wakil rakyat mereka, Manoharan tidak harus letak jawatan dan perlu terus kekal sebagai wakil rakyat kerusi itu," katanya lagi.

Waythamoorthy berkata, Hindraf juga kecewa kerana selain kenyataan media tiada tindakan konstruktif dan positif di pihak Pakatan untuk membebaskan Manoharan ataupun mengurangkan bebannya dalam usaha berkhidmat kepada pengundi-pengundinya. "Rakan-rakan dalam Pakatan perlu memperlihatkan tanggungjawab mereka dengan serius untuk mengekalkan keyakinan yang diletakkan pada mereka dengan mengambil tindakan-tindakan proaktif dan kempen berterusan untuk membebaskan Manoharan dan kesemua tahanan yang lain," katanya lagi.

Kelmarin, Manoharan mengesahkan beliau sedang memikirkan untuk mengosongkan kerusi itu kerana rasa bersalah dan tidak adil tidak mampu menunaikan tanggungjawab kepada pengundi serta menghadiri persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor.

Penasihat Undang-Undang pertubuhan haram Hindraf itu ditahan pada 13 Disember 2007. Pada pilihan raya umum 8 Mac 2008, Manoharan memenangi DUN Kota Alam Shah mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Ching Su Chen.

Sementara itu, Kerajaan Selangor menjelaskan Exco serta Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) membantu memberi perkhidmatan kepada penduduk Kota Alam Shah walaupun Manoharan ditahan ISA.

Semalam, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu dipetik Bernama berkata, bantuan bagi memastikan kerajaan negeri terus menjaga kebajikan pengundi di kawasan berkenaan.

Beliau berkata, selain isteri Manoharan, S Pushpaneela, empat lagi pembantu dilantik bagi memberikan perkhidmatan kepada penduduk.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Klik

default image

Carum Perkeso untuk dilindungi walau bekerja sendiri kerana malang tidak berbau!

MATLAMAT utama mengumpul duit dan trip perjalanan, tapi adakah pemandu pengangkutan awam menyedari ‘malang tidak berbau’ ketika bekerja?

default image

Pakar ekonomi saran Malaysia laksana pembaharuan struktur

HALA tuju perdagangan dan pelaburan global memainkan peranan penting dalam ekonomi terbuka seperti Malaysia.

default image

Jurang ekonomi penduduk bandar dan desa cabaran utama WKB 2030

JURANG ekonomi yang besar di antara kumpulan pendapatan, etnik serta kawasan luar bandar dan bandar antara cabaran besar yang dihadapi negara.

default image

Culas bayar cukai kena penalti 300 peratus, ketahui 10 fakta penting Program Khas Pengakuan Cukai Secara Sukarela

HANGAT diperkatakan mengenai isu melunaskan cukai dan masih ada yang culas untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai pembayar cukai. 

default image

Tingkatkan kemahiran, produktiviti untuk lonjakkan status ekonomi Harimau Asia

DALAM usaha untuk melonjakkan status sebagai ekonomi Harimau Asia, Malaysia berusaha untuk mengukuhkan ekonomi dan status fiskal menjelang 2021.

Artikel Lain