suria

Polis tahan peniaga miliki pistol dan peluru

PULAU PINANG: Polis menahan seorang peniaga berusia 54 tahun selepas didapati memiliki sepucuk pistol dan enam butir peluru dalam rondaan cegah jenayah di Jalan Lebuh Teik Soon berhampiran bangunan Komtar di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, SAC II Wan Abdullah Tuanku Said berkata hasil pemeriksaan ke atas lelaki itu, polis menemui sepuck pistol jenis 'Star Eiber Spain' bersama satu kelopak berisi lima butir peluru dan sebutir peluru dalam ruang pistol itu.

Katanya kejadian berlaku pada pukul 7 malam itu ketika lima anggota polis yang menjalankan rondaan dengan menaiki motosikal di kawasan itu melihat suspek dalam keadaan mencurigakan berdiri bersebelahan sebuah kereta di tepi jalan.

"Semasa anggota polis menghampirinya, dia cuba melarikan diri dengan masuk ke dalam kereta berkenaan dan berlaku pergelutan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Wan Abdullah berkata sebelum polis berjaya menahan lelaki berkenaan berlaku pergelutan dan semasa hendak membuat pemeriksaan ke atas lelaki itu, dia cuba mengambil sesuatu dari pinggangnya.

"Setelah diperiksa, polis menemui satu bungkusan kain biru terselit di pinggang lelaki berkenaan yang mengandungi senjata pistol dan peluru," katanya.

Katanya polis sedang menyiasat latar belakang lelaki tempatan itu dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 serta Seksyen 8 (a) Akta Senjata Api 1960. BERNAMA

Artikel Lain