suria

Tanding di Penanti: Guan Eng serah kepada PAS, PKR putuskan

PULAU PINANG: Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berkata, beliau tidak dimaklumkan oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR) bahawa jawatan Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) bakal diisi oleh calon PKR jika ia menang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti.

"Saya tidak dimaklumkan bahawa ADUN Penanti akan jadi Timbalan Ketua Menteri," katanya kepada pemberita di sini, hari ini. Lim berkata, beliau belum menerima nama calon TKM1 daripada Penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim. Diminta mengulas mengenai permintaan PAS supaya calon parti itu bertanding pada pilihan raya kecil DUN Penanti, Lim menyerahkan kepada keduadua parti itu untuk membuat keputusan.

"Disebabkan ia kerusi PKR sebelum ini, PAS akan berbincang dengan PKR untuk menentukan siapa yang akan bertanding. Akar umbi akan membincangkan perkara ini bagi mendapatkan kata sepakat sebelum keputusan muktamad diputuskan oleh Majlis Kepimpinan Pakatan Rakyat," katanya.

Minggu lepas, Mohammad Fairus Khairuddin melepaskan kerusi DUN Penanti itu dengan alasan mahu melanjutkan pelajaran.

Beliau sebelum itu meletak jawatan sebagai Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang. BERNAMA

Artikel Lain