suria

Lim ibarat menepuk air ke dulang - Azhar

PULAU PINANG: Ketua Pembangkang, Datuk Azhar Ibrahim (BN-Penaga) mempertikaikan kewibawaan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dalam membuat keputusan melantik Timbalan Ketua Menteri 1 (TKM1) kerana terlalu tunduk kepada Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya tindakan Lim itu seperti 'menepuk air ke dulang, terkena muka sendiri' kerana Lim pernah membuat tuduhan terhadap bekas Ketua Menteri, Tan Sri Dr Koh Tsu Koon kononnya terlalu tunduk kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

"Lain kali jangan suka mengata pada orang lain, akhirnya kembali kepada diri sendiri," katanya dalam perbahasan pada persidangan Dewan Undangan Negeri di sini hari ini.

Azhar mempersoalkan kewibawaan Lim sebagai Ketua Menteri yang mempunyai kuasa untuk melantik TKM1 bagi menggantikan Mohammad Fairus Khairuddin yang mengosongkan jawatan itu pada 8 April lepas.

"Sudah lebih kurang tiga minggu jawatan itu kosong tetapi masih belum ada keputusan calon yang sesuai untuk mengisinya, dulu kata seminggu.

"Ketua Menteri ada kuasa untuk melantik, kenapa mesti tunggu Anwar," katanya.

Isu yang dibangkitkan Azhar itu kemudiannya menjadi topik hangat sehingga Speaker Abdul Halim Hussain mengeluarkan arahan supaya isu itu tidak dibangkitkan memandangkan individu terbabit tidak hadir dalam dewan serta tidak boleh membuat pembelaan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain