suria

Hasutan: Rayuan penasihat Hindraf ditolak

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak rayuan Penasihat Undangundang Hindraf, P. Uthayakumar untuk bebas dari pertuduhan di bawah Akta Hasutan dan mengekalkan pertuduhan itu.

Pesuruhjaya Kehakiman Azman Abdullah berkata, hujahan peguam N. Surendran yang mewakili Uthayakumar berhubung pertuduhan itu bahawa ia sama sekali tidak berasas, hanya boleh dikemukakan semasa di peringkat pendakwaan untuk mengagalkan pendakwaan dalam membuktikan kes prima facie atau membuktikan kes tanpa keraguan yang munasabah.

Katanya, walaupun tiada tandatangan pada artikel yang dilampirkan bersama pertuduhan itu, ia masih boleh dibicarakan.

Uthayakumar, 46, yang kini ditahan mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), mengemukakan rayuan berhubung keputusan Hakim Mahkamah Sesyen Sabariah Othman menolak bantahan awal Uthayakumar terhadap kertas pertuduhan terhadapnya.

Terdahulu, Surendran memberitahu anak guamnya tidak mahu hadir kerana tertekan dengan layanan pihak polis sebelum ini.

Azman bagaimanapun mencelah dengan menyatakan kenyataan itu tidak mempunyai sebarang bukti dan perbicaraan akan tetap diteruskan kerana Uthayakumar sendiri yang enggan hadir walaupun pusat tahanan menyatakan kesediaan mereka untuk menghantarnya.

Pada 11 Disember 2007 Uthayakumar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas tuduhan di bawah Akta Hasutan 1948 kerana menerbitkan satu surat berunsur hasutan di laman web Police Watch Malaysia.

Uthayakumar didakwa menerbitkan satu surat menghasut di laman web Police Watch yang mempunyai alamat web http:// policewatchmalaysia.com iaitu sepucuk surat oleh Hindraf yang beralamat di No.1353A, Jalan Toman 7, Kemayan Square Seremban, Negeri Sembilan. Surat bertarikh 15 November 2007 itu telah dialamatkan kepada Perdana Menteri Britain, Gordon Brown, 10 Downing Street.

Dia didakwa melakukan perbuatan tersebut antara 15 November dan 8 Disember 2007 di No.8105 Menara Mutiara Bangsar, Jalan Liku persimpangan Jalan Riong, Bangsar di sini.

Jika sabit kesalahan, Uthayakumar yang didakwa mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948 boleh didenda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau keduaduanya sekali.

Bagi kesalahan kali kedua, hukuman penjara yang diperuntukkan ialah lima tahun. Pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Farhan Read dan kes itu akan dibicarakan di Mahkamah Sesyen pada 28 April ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain