suria

Mahkamah dapati Zambry guna prosedur betul

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan mendapati Menteri Besar Perak, Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir dan enam anggota exco kerajaan negeri itu telah menggunakan prosedur yang betul bagi mencabar keputusan Speaker Dewan Undangan Negeri, V. Sivakumar melarang mereka daripada menghadiri persidangan dewan itu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Alauddin Mohd Sheriff, yang mengetuai panel lima hakim yang membuat keputusan sebulat suara itu, berkata, mahkamah berkenaan boleh mendengar isu perlembagaan berhubung perintah larangan berdasarkan permohonan untuk mendapatkan perintah dan bukannya menerusi semakan undang-undang.

Mahkamah kemudian menolak bantahan awal Sivakumar bahawa permohonan Zambry dan enam anggota exco kerajaan negeri itu untuk mendapatkan perintah mahkamah tidak mengikut prosedur sebaliknya prosedur yang betul adalah melalui semakan undang-undang.

Yang turut bersidang bersama Hakim Alauddin ialah Ketua Hakim Malaya Datuk Arifin Zakaria serta Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Nik Hashim Nik Ab Rahman, Datuk S.Augustine Paul dan Datuk Zulkefli Ahmad Makinuddin.

Zambry dan enam anggota exco itu memohon perintah Mahkamah Persekutuan mengikut Perkara 44 Undang-undang Tubuh Negeri Perak bahawa larangan menggantung mereka daripada menghadiri persidangan dewan yang dibuat oleh Sivakumar adalah tidak sah dan terbatal.

Dalam saman pemula mereka, Zambry dan enam anggota exco itu berkata penggantungan masing-masingnya selama 18 bulan dan 12 bulan yang dikenakan terhadap mereka itu melanggar Undang-undang Tubuh Negeri Perak.

Peguam Sivakumar, Sulaiman Abdullah, sebelum itu memberitahu mahkamah bahawa mahkamah berkenaan tidak ada bidang kuasa untuk memutuskan sama ada keputusan yang dibuat oleh Sivakumar itu tidak sah atau terbatal kerana keputusan speaker itu tidak boleh dipertikai di mahkamah.

Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail pula berhujah bahawa pelantikan Zambry sebagai Menteri Besar tidak boleh dipertikai kerana perlembagaan negeri itu jelas memberikan kuasa dan budi bicara kepada Sultan Perak.

"Sivakumar tidak ada kuasa menggantung Zambry dan enam anggota exco itu daripada menghadiri persidangan dewan. Tindakannya secara tidak langsung merupakan satu cubaan menafikan hak Sultan Perak melantik Zambry sebagai Menteri Besar," katanya.

Abdul Gani juga berkata, persidangan Dewan Undangan Negeri "di bawah pokok" yang dijalankan oleh Sivakumar dan anggota dewan yang lain di Ipoh pada 3 Mac lepas, adalah tidak sah kerana mereka tidak mendapat perkenan Sultan Perak.

Penghujahan disambung Khamis ini. BERNAMA

Artikel Lain