suria

Prestasi menteri Kabinet dikaji setiap 6 bulan - Najib

PETALING JAYA: Anggota Kabinet baru yang diumumkan hari ini akan diukur prestasi mereka setiap enam bulan, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Ia sebahagian daripada pendekatan Petunjuk Prestasi Utama yang diperkenalkan oleh Najib bagi mewujudkan pasukan pentadbiran yang cekap.

Jelas Najib, Kabinet baru ini bukan sahaja merupakan satu pasukan baru dengan wajah baru, malah ia sebenarnya satu penyusunan semula peranan dan portfolio.

Katanya, Kabinet beliau akan turut menjadi tanda kepada satu pendekatan baru pentadbiran kerajaan yang lebih telus, bertanggungjawab serta berfokus mendahulukan rakyat.

"Untuk maksud tersebut, saya akan memulakan usaha ini dengan memperkenalkan satu paradigma yang akan memacu prestasi dan pencapaian.

"Kita akan menggunakan pendekatan Petunjuk Prestasi Utama secara menyeluruh. Petunjuk tersebut akan menekankan impak, bukannya ‘input’; hasil, bukannya ‘output’ dan akan memastikan penyampaian perkhidmatan awam yang berbaloi," kata beliau ketika mengumumkan barisan anggota

Kabinet baru di Jabatan Perdana Menteri pukul 3 petang tadi.

Malah, Najib juga mengumumkan kewujudan Kementerian Perpaduan dan Prestasi Kabinet yang akan diketuai oleh Tan Sri Koh Tsu Koon yang turut dilantik sebagai anggota Dewan Negara.

Menurut Najib, petunjuk tersebut akan mencerminkan keutamaan strategik negara dan akan dipantau oleh sebuah unit baru yang akan dipimpin oleh seorang Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

"Bagi merealisasikan hal ini, saya mahukan agar para Menteri serta pegawai-pegawai kanan Perkhidmatan Awam dipertanggungjawabkan terhadap pencapaian masing-masing bersandarkan petunjuk prestasi tersebut.

"Manakala setiap Timbalan Menteri berjumlah 40 orang semuanya akan diberi ruang tugas yang khusus. Saya akan mengarahkan setiap Menteri untuk menyediakan KPI yang jelas merangkumi perincian tanggungjawab berkaitan tugas mereka serta timbalan masing-masing dalam masa 30 hari dari sekarang.

"Inilah hasrat besar saya meletakkan matlamat sedemikian supaya kabinet baru ini benar-benar menggalas tanggungjawab seperti yang diamanahkan oleh rakyat," katanya. Najib menambah, dengan dibantu oleh menteri yang berkaitan beliau akan memantau pengurusan petunjuk prestasi agar ia berjalan dengan lancar.

"Seterusnya untuk makluman semua, saya akan terlibat secara peribadi dan langsung untuk mengkaji prestasi semua menteri pada setiap enam bulan.

"Makanya, bilamana prestasi didapati tidak memenuhi piawai, saya dan menteri berkenaan serta penjawat awam yang berkaitan akan merungkaikan sebarang halangan yang menyekat prestasi mereka itu.

"Sememangnya pun inilah pendekatan saya sejak dulu lagi dalam mencapai transformasi melalui kepimpinan yang berasaskan prestasi," ujar beliau.

Artikel Lain