suria

Dua lelaki terlepas dari tali gantung

KUALA LUMPUR: Dua lelaki hari ini terlepas daripada hukuman mati di tali gantung apabila mengaku bersalah di Mahkamah Tinggi di sini atas tuduhan pilihan menyebabkan kematian seorang buruh, lima tahun lepas.

Pesuruhjaya kehakiman Azman Abdullah menjatuhkan hukuman penjara lima tahun kepada S. Jiven, 24, seorang pencuci kereta dan tujuh tahun kepada V. Vasanthakumar, 34, seorang buruh.

Azman memerintahkan Jiven, berasal dari Batu Gajah, Perak, menjalani hukuman tersebut bermula tarikh beliau ditangkap pada 22 Jan 2004 dan Vasanthakumar, dari Sentul, pada 19 April 2004.

Kedua-dua mereka sebelum ini menghadapi tuduhan membunuh V. Victor Prabagaran, 29, di rumahnya di No 14423C, Rumah Pangsa Tunku Abdul Rahman, di sini, kirakira 5 pagi, 18 Januari 2004.

Mereka didakwa melakukan kesalahan tersebut bersama dua lelaki lain yang masih bebas.

Jiven dan Vasanthakumar mengaku bersalah kepada pertuduhan pilihan apabila Timbalan Pendakwa Raya Shamsul Sulaiman menawarkan pertuduhan itu di bawah Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun, atau denda, atau kedua-dua sekali jika disabitkan. Azman dalam penghakimannya berkata mahkamah telah mengambil kira faktor usia Jiven ketika kejadian di mana beliau hanya berumur 18 tahun tiga bulan, serta beliau hanya mengawal di luar rumah mangsa ketika rakan yang lain menyerang Victor.

Azman berkata fakta kes menunjukkan Vasanthakumar terbabit secara langsung dalam serangan tersebut di mana mangsa telah mengalami kecederaan teruk di bahagian muka dan leher, dan mati di tempat kejadian akibat pendarahan yang teruk.

Peguam Jiven, V. Jeevaretnam berkata anak guamnya telah menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) semasa dalam tahanan reman dan ingin meneruskan pelajarannya.

Peguam Vasanthakumar, S. Saravanan, berkata anak guamnya telah ditinggalkan oleh isterinya ketika dalam tahanan dan sejak berumur sembilan tahun dia telah berpisah daripada keluarganya dan telah membesar bersama keluarga angkatnya.

Shamsul meminta mahkamah agar mempertimbangkan fakta kes yang menunjukkan serangan terhadap mangsa telah dirancang dan mangsa sedang tidur ketika kejadian serta tidak berpeluang untuk mempertahankan dirinya daripada serangan tersebut. BERNAMA

Artikel Lain