suria

Polis bongkar makmal senjata api

PETALING JAYA: Polis berjaya membongkar sebuah makmal mini menghasilkan senjata api selepas menahan sembilan lelaki dan merampas 10 senjata pelbagai jenis dalam lima serbuan berasingan di Kampung Paya Jaras dan Kampung Kubu Gajah, dekat Sungai Buloh di sini, sejak semalam.

Berikutan maklumat awam, polis melancarkan operasi khas bermula daripada pukul 9 malam tadi hingga pukul 4 pagi tadi dan menemui sejumlah senjata api buatan sendiri dalam sebuah rumah.

Polis turut merampas antaranya dua mesin pemotong besi, lima unit kompressor peti sejuk, dua unit pam angin yang diubahsuai, lima tabung pemadam api, dua alat gerudi dan sebuah alat kimpalan, selain sejumlah batang dan paip besi yang diubahsuai.

Hasil serbuan itu, polis menahan sembilan lelaki termasuk empat warga Indonesia yang merupakan dalang sindiket tersebut, pembuat, pengedar dan pembeli senjata api berkenaan.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata dalam serbuan pertama di Kampung Paya Jaras, empat lelaki warga Indonesia ditahan dan dua laras rifel buatan sendiri dirampas.

Beliau berkata dalam serbuan kedua di Kampung Kubu Gajah, seorang lelaki tempatan yang berusia 42 tahun ditahan bersama enam pucuk senjata api serta sejumlah peralatan memproses dan membuat senjata api berkenaan.

"Hasil siasatan awal mendapati lelaki tempatan itu adalah dalang sindiket berkenaan yang dipercayai mengajar empat lelaki Indonesia tersebut, cara untuk menghasilkan senjata api," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

"Tambah mengejutkan apabila pemeriksaan di dalam rumahnya membawa kepada penemuan makmal mini untuk menghasilkan senjata api selain sebuah lapang sasar mini untuk menguji senjata api yang dihasilkan," katanya.

Arjunaidi berkata pada serbuan ketiga di kawasan berhampiran membawa kepada penahanan seorang lelaki tempatan bersama selaras rifel.

Beliau berkata pada serbuan seterusnya, dua lelaki tempatan ditahan dan pada serbuan terakhir pula, polis merampas sepucuk revolver tiruan jenis Phyton 357 dan menahan seorang lagi lelaki tempatan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain