suria

Hakim terkhilaf dalam kes CLP, kata peguam

KUALA LUMPUR: Hakim Mahkamah Sesyen terkhilaf apabila menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan ke atas bekas pengarah Sijil Amalan Guaman (CLP) Khalid Yusoff kerana bersalah menipu dan memalsukan senarai induk keputusan CLP Julai 2001, demikian Mahkamah Tinggi diberitahu hari ini.

Peguam Akbardin Abdul Kader berkata hakim perbicaraan telah salah arah dirinya dengan mensabitkan anak guamnya walaupun bersetuju bahawa Khalid tidak mendapat sebarang ganjaran hasil daripada tindakan itu.

Katanya proses moderasi pemeriksaan skrip jawapan calon adalah amalan yang diterima di kebanyakan institusi pengajian tinggi dan Khalid menjalankan proses itu secara bersama dengan dua lagi pemeriksa dan tidak secara satu pihak.

Akbardin berkata jawatankuasa semakan yang diketuai oleh Khalid dan dua lagi pemeriksa menjalankan proses moderasi di mana keputusan asal peperiksaan CLP Julai 2001 menunjukkan hanya 11 peratus calon yang lulus.

Selepas proses semakan semula itu, markah kelulusan dinaikkan kepada 25 peratus. "Semakan semula markah dilakukan bagi memastikan markah kelulusan adalah berpatutan dan pada tahap yang diterima selepas mengambil kira pelbagai kriteria calon sama ada mereka mengulangi peperiksaan, gagal dengan margin kecil atau standard memeriksa secara menyeluruh," jelas Akbardin.

Beliau menegaskan bahawa jawatankuasa semakan yang dipimpin oleh Khalid itu biasanya menjalankan proses moderasi terhadap markah peperiksaan sejak 1994. Akbardin berhujah demikian ketika merayu terhadap keputusan Mahkamah Sesyen mensabit dan menjatuhkan hukuman terhadap Khalid pada 31 Julai, 2007.

Khalid, 57, juga disabit kesalahan menipu Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang Malaysia dengan memperdayakan mereka supaya mempercayai bahawa senarai induk keputusan CLP Julai 2001 adalah keputusan yang benar dan yang diberikan oleh pemeriksa peperiksaan tersebut.

Kedua-dua kesalahan itu dilakukan antara Ogos dan 13 Sept 2001 di pejabat lembaga itu di Tingkat 27, Menara Tun Razak, Jalan Raja Laut di sini.

Akbardin berkata kenyataan saksi bekas Peguam Negara Allahyarham Tan Sri Mohtar Abdullah, yang menjadi pengerusi Lembaga Kelayakan CLP pada waktu itu, telah dengan jelas melepaskan tertuduh dari sebarang salah laku.

Beliau membuat kesimpulan bahawa permohonan rayuan itu harus dibenarkan atas alasan bahawa hakim terkhilaf di mana dia telah bersetuju dengan pendakwaan bahawa proses moderasi diterima sebagai satu amalan dan sah. Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran berkata Khalid didakwa bukan kerana dia gagal mematuhi skim memeriksa kertas peperiksaan tetapi mengubah markah dengan niat untuk melakukan penipuan.

Katanya tindakan Khalid itu menyebabkan calon yang tidak layak diterima untuk menjalankan amalan guaman.

Katanya peranan utama Khalid adalah untuk membantau lembaga kelayakan itu mengendalikan peperiksaan dan dia tidak diberi kebebasan tanpa had bagaimana mengendalikannya.

Raja Rozela berkata Khalid gagal memberi penjelasan yang sewajar ketika siastan peringkat awal oleh lembaga itu terhadap dakwaan mengubah markah dan membocorkan kertas peperiksaan CLP pada September 2001.

Pesuruhjaya Kehakiman Zainal Abdul Aziz menetapkan 20 April ini untuk membenarkan Raja Rozela meneruskan hujahnya.BERNAMA

Artikel Lain