suria

Kerajaan tidak bercadang wujud mahkamah perlembagaan

KUALA LUMPUR: Kerajaan tidak bercadang mewujudkan Mahkamah Perlembagaan memandangkan peruntukan undang-undang yang ada sudah memadai dan jelas, yang memberi kuasa kepada mahkamah untuk mengendalikan sesuatu kes yang menyentuh Perlembagaan Persekutuan dan negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata semua Mahkamah Tinggi di seluruh negara mempunyai bidang kuasa mendengar apaapa jua kes yang berkaitan dengan tafsiran Perlembagaan Persekutuan atau Perlembagaan Negeri atau soal yang berkaitan dengannya.

"Ini membolehkan sesuatu kes didengar dengan segera tanpa dihadkan kepada suatu mahkamah yang khusus," katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Ahmad Rusli Iberahim pada persidangan Dewan Negara di sini hari ini.

Ahmad Rusli ingin tahu mengenai keperluan mewujudkan Mahkamah Perlembagaan berdasarkan suasana masa kini serta kedudukan masa akan datang.

Mohamed Nazri berkata mengikut Perkara 128(2) Perlembagaan Persekutuan, tanpa menjejaskan apa-apa bidang kuasa rayuan Mahkamah Persekutuan, jika ada soal berbangkit mengenai kesan mana-mana peruntukan Perlembagaan Persekutuan, maka Mahkamah Persekutuan boleh memutuskan soal itu dan menghantar balik kes itu ke mahkamah asal tersebut untuk menyelesaikan kes itu mengikut keputusan yang telah dibuat oleh Mahkamah Persekutuan. BERNAMA

Artikel Lain