suria

Abdullah jamin pembangunan di Kepala Batas diteruskan

KEPALA BATAS: Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi memberi jaminan bahawa projek pembangunan di kawasan Parlimen Kepala Batas tetap diteruskan walaupun beliau tidak lagi memegang jawatan itu nanti.

Abdullah yang juga anggota Parlimen Kepala Batas berkata hal yang demikian bertujuan memastikan masyarakat setempat dapat menikmati kehidupan yang selesa selain meningkatkan taraf hidup.

"Tidak semestinya bila sudah tidak menjadi Perdana Menteri kawasan itu tidak boleh dimajukan. Ada juga kawasan lain yang tidak ada Perdana Menteri boleh membangun.

"Mudah-mudahan pembangunan di kawasan ini diteruskan dan akan diteruskan, tidak semestinya saya sudah tidak menjadi Perdana Menteri, pembangunan akan terhenti," katanya dalam ucapan perasmian 28 projek pembangunan persekutuan di kawasan Parlimen Kepala Batas di Dewan Milenium di sini, hari ini.

Abdullah turut menegaskan agar memperbanyakkan projek infrastruktur untuk rakyat.

28 projek pembangunan persekutuan itu melibatkan 10 jabatan antaranya Jabatan Pelajaran Malaysia, Jabatan Kesihatan Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Belia dan Sukan.

Sebanyak 16 daripada 28 projek itu adalah projek pendidikan dan keseluruhan projek yang dirangka di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) itu menelan belanja sebanyak RM391 juta.

Mengenai jumlah projek pembangunan di kawasan Kepala Batas itu, Abdullah menjelaskan bahawa ia bersesuaian dengan status kawasan itu sebagai pusat pentadbiran bagi daerah Seberang Perai.

"Kepala Batas sudah menjadi pusat pentadbiran daerah oleh itu banyak projek pembangunan untuk keperluan sebuah pusat pentadbiran daerah," katanya.

Katanya pembangunan yang disediakan bertujuan untuk pengagihan yang adil bagi kemudahan penduduk di kawasan luar bandar sebagai nilai tambah kepada peningkatan taraf hidup berkualiti.

Abdullah turut memberi jaminan bahawa beliau akan memberi lebih tumpuan terhadap kawasan itu selepas meletak jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Selepas ini apabila kerja sudah tidak banyak maka boleh beri tumpuan lebih untuk kawasan Parlimen," katanya. BERNAMA

Artikel Lain