suria

UPP rampas ayam beku bernilai RM40,000

JELI: Unit Pencegahan Penyeludupan (UPP) berjaya menumpaskan cubaan menyeludup ayam beku bernilai hampir RM40,000 dari negara jiran apabila pihaknya menahan sebuah lori di hadapan pejabat UPP Bukit Bunga, di sini awal pagi semalam.

Komander UPP Kelantan Mazlan Che Hamid berkata dalam operasi itu yang bermula 2.45 pagi, pihak UPP telah membuat intipan terhadap lori lima tan itu yang baru sahaja keluar dari sebuah ladang kelapa sawit Pak Dogol di Lalang Pepuyu, Tanah Merah setelah pihak penyeludup mengambil ayam itu daripada pangkalan haram di kawasan berkenaan.

"Pihak kami telah menerima maklumat mengenai aktiviti penyeludupan itu dan apabila sampai ke pusat pemeriksaan UPP di Jeli, pihak kami telah menahan lori tersebut," katanya kepada pemberita di sini.

Berikutan itu, pemandu lori berkenaan telah melarikan diri dengan sebuah kereta yang berada di belakang lori tersebut.

Katanya lori itu, telah dibawa ke pejabat UPP dan hasil pemeriksaan pihaknya mendapati lori itu cuba menyeludup 5,712 kilogram ayam beku yang bernilai hampir RM40,000.

Mazlan berkata lori dan ayam beku itu diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut.

Pengarah jabatan itu, Dr Mohd Zairi Serlan berkata, kegiatan menyeludup itu menjadi rancak sejak kebelakangan ini berikutan penularan wabak selesema burung di Thailand.

Ini menyebabkan keperluan daging ayam di sana menurun secara mendadak dan peniaga ayam terpaksa menyeludup ke Malaysia tanpa melalui pemeriksaan kesihatan terhadap ayam beku itu. BERNAMA

Artikel Lain