suria

Samy kekal Presiden tapi pemilihan dicemari duplikasi pencalonan

[ANALISIS] Sejak awal pagi lagi tiga kain rentang digantung pada tembok jalan berhampiran bangunan MIC di ibu negara sudah pun mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri S. Samy Vellu.

Salah satunya, dalam bahasa Tamil, berbunyi "jika bukan pasukan anda yang menang, siapa lagi yang boleh."

Menjelang 12 tengah hari semalam, Samy Vellu telah berjaya mengekalkan jawatannya sebagai Presiden MIC buat penggal ke-11 berturut-turut, tetapi persoalan yang timbul pula berkaitan dengan fenomena duplikasi pencalonan.

Jawatankuasa Pemilihan MIC terpaksa menolak lebih 40 pencalonan atas alasan ada pengerusi cawangan yang mengemukakan pencalonan bertindih iaitu mencalonkan lebih daripada seorang calon.

[BERITA ASAL]

Samy Vellu menang lagi, tidak mahu tanding tahun 2012

Perkembangan tersebut membawa kepada kegagalan bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan untuk mencabar Samy Vellu, yang merupakan Presiden MIC paling lama menerajui parti tersebut.

Muthupalaniappan yang ditemui selepas mengemukakan borang penamaan calon berkata, beliau sudah menjangkakan perkembangan tersebut sejak beberapa hari lalu.

Pun begitu sehingga 11.30 pagi semalam berkeyakinan borangnya akan diterima. Bagaimanapun beliau meninggalkan kawasan bangunan MIC selepas mengetahui bahawa sebahagian besar borang pencalonannya ditolak dan dianggap tidak sah.

Justeru, Muthupalaniappan hanya mendapat lima pencalonan sambil menyifatkannya "demokrasi sudah mati dalam MIC."

Mengapa fenomena sedemikian wujud? Apakah yang membawa kepada perkembangan ini?

Pengerusi-pengerusi cawangan yang terbabit bertindak atas tekanan dan desakan? Ataupun ada pengerusi cawangan yang tidak mengerti peraturan parti dan cuba mempermain-mainkan proses pemilihan Presiden parti. Apakah proses pemilihan sudah menjadi bahan permainan bagi pengerusi-pengerusi ini?

Pengerusi cawangan berhak menyokong mana-mana calon sama ada Samy Vellu ataupun Muthupalaniappan tetapi perkembangan hari ini menunjukkan ada yang tidak kena dengan amalan demokrasi ini dilaksanakan.

Perlembagaan MIC menyebut bahawa seorang yang mahu bertanding jawatan Presiden perlu mendapat 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan dua penyokong.

Semua pencadang dan penyokong mesti terdiri daripada pengerusi cawangan. Di bawah sistem pemilihan MIC, Presiden dipilih kira-kira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara.

Pengerusi Jawatankuasa Pemlihan MIC, Datuk K. Vijayanathan berkata, Samy Vellu mendapat 572 pencalonan dengan 117 pencalonan ditolak kerana tidak mengikut perlembagaan parti dan undang-undang kecil pilihan raya presiden.

Kata beliau, Muthupalaniappan mendapat 53 pencalonan tetapi 48 daripadanya ditolak atas sebab yang sama.

"Jawatankuasa Pemilihan telah mengesahkan semua kertas-kertas pencalonan dan hasilnya kami telah menolak pencalonan dari kedua-kedua yang bertanding.

"Tugas kami adalah untuk mematuhi perlembagaan dan undang-undang kecil pilihan raya presiden dan pada akhirnya kami dapati hanya seorang calon yang layak bertanding.

"Kami terikat di bawah perlembagaan untuk mengisytiharkan bahawa Datuk Seri Samy Vellu sebagai presiden bagi penggal 2009-2012," kata beliau ketika mengumumkan hasil proses penamaan calon.

Ketika ditemui kemudian, Vijayanathan mengakui bahawa majoriti pencalonan bagi kedua-dua Samy Vellu dan Muthupalaniappan ditolak disebabkan masalah duplikasi pencalonan.

Bagaimanapun beliau enggan menyatkan apa yang menyebabkan masalah sedemikian.

Difahamkan sesetengah pengerusi memutuskan untuk menyokong Muthupalaniappan tanpa pengetahuan ketua bahagian masing-masing. Pengerusi-pengerusi berkenaan dikatakan mengakui mahu menyokong Samy Vellu tetapi memutuskan untuk mencalonkan Muthupalaniappan.

Keadaan itu menyebabkan ada yang mengisi semula borang lalu turut menyalurkan pencalonan mereka kepada calon lain.

Apakah mereka sedar akan implikasi tindakan itu? Sudah pasti!

Wajarkah tindakan diambil ke atas mereka?

Jelas Vijayanathan, perkara itu tidak pernah berlaku sebelum ini.

"Ini perkara baru dan kemungkinan CWC (Jawatankuasa Kerja Pusat) MIC boleh melihat selepas ini," kata beliau apabila ditanya sama ada wajar pengerusi-pengerusi yang memberikan pencalonan bertindih wajar dikenakan tindakan kerana mencemarkan nama parti.

Artikel Lain