10 ditahan dalam kes bunuh dua pemandu lori - Semasa | mStar

10 ditahan dalam kes bunuh dua pemandu lori

IPOH: Polis menahan 10 lelaki bagi membantu siasatan berhubung kematian dua pemandu lori dalam pergaduhan melibatkan dua kumpulan di Taman Ratna, Jalan Changkat Jong, Teluk Intan, 100 km dari sini Khamis lepas.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Goh Kok Liang, berkata lima daripada mereka ditahan Jumaat lepas, dia pada Sabtu, seorang pada Ahad dan dua lagi hari ini di di Changkat Jong, Sungai Manik dan Teluk Intan.

Kesemua mereka penganggur yang berusia antara 20 dan 34 tahun dan kini ditahan reman lima hingga tujuh hari untuk siasatan lanjut.

Polis masih mengesan beberapa lagi suspek bagi membantu siasatan.

Mereka yang terbunuh dalam pergaduhan itu dikenali sebagai N.Nesan, 20 berasal dari Taman Malaysia, Jalan Sultan Abdullah, Teluk Intan dan M.Nagappan, 28 dari Kampung Batu 7, Jalan Changkat Jong.

Pergaduhan berlaku pada awal pagi membabitkan lebih 10 orang daripada dua kumpulan yang menggunakan parang, kayu, batang besi dan topi keledar.

Goh berkata polis masih menyiasat motif pergaduhan itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain