suria

Profil Ali Rustam

MELAKA: Datuk Seri Mohd. Ali Rustam yang hari ini didapati melanggar tataetika parti oleh Lembaga Disiplin Umno dan dilarang bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan, menjadi Ketua Menteri Melaka sejak 2 Disember 1999.

Mohd. Ali, 60, dilahirkan di Kampung Bukit Katil di sini, pernah bertugas sebagai kerani di Lembaga Letrik Negara (LLN) dari 1969 hingga 1979, sebelum kerjayanya meningkat menjadi Pengarah Kemas di Perlis, Wilayah Persekutuan dan Melaka.

Dalam politik, beliau menjadi Ketua Pemuda Umno cawangan Bukit Katil pada 1972 dan memegang pelbagai jawatan sebelum menjadi Ketua Umno Bahagian Batu Berendam pada tahun 1986.

Bahagian itu kini ditukar nama kepada Umno Bahagian Bukit Katil.

Mohd. Ali kemudian menjadi Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Melaka pada 1988 sebelum dilantik pengerusi badan perhubungan itu pada 1996.

Pada pemilihan Umno 2004, Mohd. Ali dipilih sebagai Naib Presiden Umno selepas mendapat undi kedua terbanyak (1,329 undi) di belakang Tan Sri Mohamed Isa Abdul Samad, bekas Menteri Wilayah Persekutuan (1,507 undi).

Tempat ketiga ialah Tan Sri Muhyiddin Yassin, yang ketika itu Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani (1,234).

Pada November lepas, Mohd. Ali menerima 48 pencalonan untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan bersama-sama dua lagi calon iaitu Muhyiddin, kini Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib.

Pada 1986, Mohd. Ali memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Ayer Molek di Melaka dan dilantik sebagai Exco Kerajaan Negeri Melaka, seterusnya memenangi kerusi DUN Sungai Udang pada pilihan raya umum 1990.

Pada pilihan raya umum 1995, beliau memenangi kerusi Parlimen Batu Berendam dan dilantik sebagai Timbalan Menteri Pengangkutan sehingga Januari 1999, kemudiannya menjadi Timbalan Menteri Kesihatan sehingga November 1999.

Pada pilihan raya umum 1999, beliau memenangi kerusi DUN Paya Rumput dan dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin.

Mohd. Ali juga memegang jawatan tertinggi dalam badan bukan kerajaan termasuk Presiden Gerakan Belia 4B Malaysia, Presiden Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Presiden World Youth Foundation (WYF). BERNAMA

Artikel Lain