suria

Pemimpin Umno harap Ali Rustam kemuka rayuan

IPOH: Beberapa pemimpin Umno hari ini berharap Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam mengemukakan rayuan berhubung keputusan Lembaga Disiplin hari ini yang melucutkan hak kelayakan beliau untuk bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan munggu depan.

Bekas Menteri Besar Selangor yang juga calon Ketua Pemuda Umno, Datuk Seri Mohamad Khir Toyo berharap Mohd Ali akan segera mengemukakan rayuannya terhadap keputusan itu dan terpulang kepada jawatankuasa rayuan untuk menimbangnya.

"Badan disiplin ada tiga peringkat...pertamanya yang menyiasat, yang kedua yang mengadili dan yang ketiga yang merayu. Jadi kita harap Datuk Seri Ali akan merayu dan harap rayuannya akan diterima," katanya selepas sesi memperkenalkan calon-calon yang akan bertanding dalam pemilihan parti di sini, petang tadi.

Lembaga Disiplin dalam satu sidang media hari ini mengumumkan Mohd Ali Rustam dilucutkan kelayakan bertanding bagi jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti minggu depan kerana didapati bersalah melanggar peraturan kempen pemilihan parti.

Keputusan itu diumumkan Pengerusinya, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail di ibu pejabat Umno, Menara Dato Onn, Kuala Lumpur.

Sementara itu, calon Timbalan Presiden, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, juga berharap Mohd Ali akan mengemukakan rayuannya.

"Kita akur dan hormat kepada keputusan Lembaga Disiplin," katanya.

Tan Sri Isa Samad, bekas Naib Presiden Umno yang pernah digantung kerana kesalahan politik wang, ketika diminta mengulas hukuman yang dikenakan terhadap Mohd Ali berkata : "Pengalaman digantung daripada Umno tak dapat nak digambarkan dalam bentuk perkataan mahupun lukisan".

Calon Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal berkata beliau yakin Mohd Ali akan meneruskan perjuangannya dalam parti dan menjadikan kesetiaan sebagai keutamannya dalam meneruskan perjuangan itu.

Mohd Ali yang turut ditemui di majlis yang sama hanya akan memberikan penjelasan berhubung perkara itu di Melaka esok.

Beliau yang kelihatan tenang semasa ditemuramah wartawan berkata setakat ini beliau belum menerima keputusan rasmi daripada Lembaga Disiplin Umno.

Beliau yang juga Naib Presiden Umno enggan mengulas lanjut kerana perlu meneliti keputusan berkenaan terlebih dahulu dan akan membuat kenyataan penuh esok.

Mohd Ali, yang juga Naib Presiden Umno, kelihatan meninggalkan Dewan Bandaran, tempat sesi itu berlangsung, pada pukul 5.10 petang sambil bersalaman dengan anggota Umno yang menunggu di pintu masuk utama dewan sambil diringi pekikan 'Hidup Ali' daripada sekumpulan penyokongnya.

Artikel Lain