suria

MB jumpa Elizabeth hujung minggu ini

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim akan berjumpa Elizabeth Wong hujung minggu ini bagi membincangkan hasrat anggota exco itu meletak jawatan dalam kerajaan negeri dan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Lanjan.

Khalid berkata Wong telah meminta untuk bertemu beliau hari ini, tetapi terpaksa ditolak kerana persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) masih berjalan.

"Dia (Elizabeth) minta nak jumpa saya hari ini. Oleh kerana hari ini saya sibuk dengan sidang DUN jadi saya memintanya berjumpa saya pada hujung minggu ini.

"Saya perlu meluangkan masa yang cukup untuk berbincang dengan dia," kata Khalid kepada pemberita di bangunan DUN Selangor di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai perkembangan Wong yang diminta bercuti selama sebulan dan memikirkan semula hasrat untuk meletak jawatan berikutan gambar separuh bogel beliau yang tersebar di Internet.

Ditanya sama ada menjadi satu kesalahan bagi seseorang anggota exco mengambil cuti lebih sebulan, Khalid berkata ia bukan kesalahan kerana beliau mempunyai kuasa untuk menyambung cuti seseorang exco itu.

Beliau berkata cuti Wong, yang sepatutnya tamat semalam, disambung atas budi bicara kerana Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pelancongan, Hal Ehwal Pengguna dan Alam Sekitar negeri itu sebelum ini mendapat kebenaran Speaker DUN (Teng Chang Kim) untuk tidak menghadiri persidangan Dewan. BERNAMA

Artikel Lain