suria

Latihan pemilihan Umno di PWTC esok

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Pemilihan Umno akan mengadakan latihan proses pemilihan parti itu, termasuk penggunaan pengundian secara berkomputer, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini esok.

Setiausaha Kerja Umno Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim berkata dalam latihan itu, wakil calon akan diberi taklimat tentang proses pemilihan.

"Kami juga menggalakkan kehadiran calon. Taklimat ini akan meliputi keseluruhan proses pemilihan parti, daripada pengundian hinggalah kepada pengumuman keputusan," katanya kepada Bernama hari ini.

Husainay dilaporkan berkata Jawatankuasa Pengurusan Umno telah meluluskan pengundian secara berkomputer bagi menjimatkan masa dan memastikan ketelusan pemilihan pada tahun ini.

Perhimpunan Agung Umno 2009 akan berlangsung di Dewan Merdeka pada 24 hingga 28 Mac.

Sebanyak 269 calon bertanding bagi pelbagai jawatan pada pemilihan parti kali ini, termasuk jawatan dalam pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain