suria

Perhilitan rampas lebih 5,000 kilogram haiwan eksotik

KANGAR: Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) merampas lebih 5,000 kilogram haiwan eksotik dalam serbuan di sebuah premis berhampiran sempadan Malaysia-Thailand di Padang Besar, semalam.

Haiwan yang dirampas dalam serbuan pada pukul 9 pagi di premis dua tingkat itu ialah hampir dua tan metrik daging babi hutan, 27 kepala babi hutan, 54 bangkai musang dan 10 bangkai lotong, yang kesemuanya telah dilapah.

Nilai kesemua rampasan itu dianggar melebihi RM50,000, kata Timbalan Pengarah Bahagian Perundangan dan Penguatkuasaan Perhilitan Celescoriano Razond.

Beliau berkata seorang lelaki yang dipercayai pemilik daging dan bangkai itu ditahan untuk siasatan.

"Lelaki itu dibebaskan setelah membayar wang jaminan sebanyak RM4,500 dengan seorang penjamin. Dia akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Kangar 9 April ini untuk dituduh mengikut Seksyen 68 Akta Perlindungan Hidupan Liar 1972," katanya.

Celescoriano berkata lelaki itu mempunyai lesen memperdagangkan daging babi hutan tetapi hanya untuk 5,000 kilogram pada satu-satu masa.

Beliau percaya daging kesemua binatang yang dilindungi itu akan diseludup ke Thailand kerana mendapat permintaan yang tinggi dan harga yang lebih mahal. BERNAMA

Artikel Lain