suria

4 negeri warta penggunaan "Allah" ikut garis panduan

KUALA LUMPUR: Empat negeri yang belum mewartakan larangan penggunaan perkataan "Allah, Baitullah, solat dan Kaabah" dalam sebarang bentuk penerbitan bukan Islam akan melaksanakannya dalam waktu terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, pewartaan itu akan dibuat mengikut garis panduan yang dikeluarkan oleh Majlis Rajaraja Melayu berikutan negeri-negeri berkenaan iaitu Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sabah dan Sarawak tidak mempunyai raja.

"Pewartaan itu akan dibuat kemudian. Ia di bawah (Yang di-Pertuan) Agong dan ini akan dilakukan dalam waktu terdekat... kerana negeri-negeri ini tidak beraja," katanya kepada pemberita selepas majlis Sambutan Maulidur Rasul 1430 Hijrah/2009 Masehi di sini hari ini.

Sebelum ini, Penasihat Agama Perdana Menteri, Datuk Dr. Abdullah Md Zin dilaporkan berkata bahawa majlis agama Islam negeri boleh mengambil tindakan terhadap pihak yang menggunakan perkataan "Allah, Baitullah, solat dan Kaabah" dalam sebarang bentuk penerbitan bukan Islam.

Beliau berkata, ia diputuskan Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan sebelum ini dan sudah diwartakan di 10 negeri kecuali Wilayah Persekutuan, Pulau Pinang, Sabah dan Sarawak.

Isu penggunaan perkataan "Allah" timbul selepas akhbar mingguan Herald Catholic bertindak menggunakan perkataan itu dalam edisi terbitan bahasa Malaysianya.

Ahmad Zahid pula semasa menggulung perbahasan usul menjunjung kasih titah ucapan diraja di Dewan Rakyat Khamis lepas berkata, walaupun kes perbicaraan permohonan kerajaan dan tujuh Majlis Agama Islam dan Persatuan Saudara Baru Islam (MACMA) untuk merujuk kes itu ke Mahkamah Persekutuan kerana membabitkan Perlembagaan Persekutuan, 10 negeri sudah mewartakan keputusan Majlis Fatwa Kebangsaan itu.

Beliau dipetik sebagai berkata, ia juga membabitkan kuasa Raja dan Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan ia turut diserahkan kepada Majlis Raja-raja untuk diputuskan.

Ahmad Zahid juga dipetik sebagai berkata, keputusan 10 negeri itu tertakluk di bawah Enakmen Kawalan dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam yang dibuat di bawah Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Wakil DAP kekal MP Bandar Kuching

Artikel Lain