suria

Lagi isu Karpal terima peluru di Parlimen, Bung cabar MP Bukit Gelugor

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen diingatkan tidak boleh menggunakan kekebalan mereka untuk tidak disiasat oleh pihak polis atau menafikan sebarang tindakannya di Dewan Rakyat.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, jika sesuatu laporan polis dibuat berhubung kesalahan yang dilakukan, pasukan keselamatan boleh berhubung dengan Speaker Dewan untuk membantu siasatan.

"Jangan bimbang... sebenarnya apabila siasatan telah dibuat, berlaku dalam Dewan, seseorang Ahli Parlimen tidak boleh menggunakan kekebalannya dalam Dewan untuk mengatakan perkara ini tidak berlaku.

"Maknanya kalau laporan polis telah dibuat, polis akan membuat siasatan.

"Kalau didapati betul perkara ini tidak betul (salah), polis boleh berhubung dengan Speaker, dan ini merupakan pendirian yang dilaksanakan di England.

"Saya banyak membaca tentang keistimewaan Parlimen... keistimewaan Parlimen ini adalah keistimewaan Parlimen dan bukan ahli Parlimen," kata beliau di Dewan Rakyat hari ini.

Penjelasan Wan Junaidi itu adalah berhubung usul 18(3)b yang dibangkitkan oleh Timbalan Pengerusi Kelab Penyokong Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Mokhtar Radin.

Usul itu bagi membolehkan mana-mana usul yang ditolak diterima untuk dibentang jika mendapat sokongan daripada 15 orang ahli Dewan Rakyat.

Dewan Rakyat sebelum itu telah menolak usul di bawah peraturan mesyuarat 18(1) yang dikemukan oleh Ahli Parlimen Kinabatangan tersebut supaya membahaskan mengenai dakwaan Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) bahawa Pemuda Umno telah menghantar ua butir peluru melalui pos ke rumahnya.

Bung juga mencabar supaya Karpal membuat kenyataan di luar Dewan tanpa berselindng di sebalik imuniti sebagai ahli Parlimen.

"Saya ingin mencadangkan kalau benar-benar Bukit Gelugor ikhlas dan berani di atas ungkapan tersebut, ulangi perkataan itu diluar Dewan.

"Kalau dia benar-benar ada bukti bahawa Pemuda Umno menghantar dua butir peluru kepada dia, maka nyatakan di luar Dewan, jangan gunakan kekebalan Dewan ini untuk berlindung kerana ini tidak mencerminkan kewibawaan Ahli Parlimen tersebut," katanya.

Bagaimanapun Wan Junaidi menjelaskan, Speaker tidak mempunyai hak untuk membuat keputusan sebelum ia diputuskan oleh jawatankuasa yang telah dibentuk baru-baru ini.

"Sebenarnya usul berhubung dengan peluru tidak pernah dibangkitkan, ia hanya disebut... tetapi yang didesak untuk saya membuat keputusan ialah perkataan celaka, namun ia telah ditarik balik dan akhirnya berlaku kekecohan sedikit hingga ditubuhkan satu jawatankuasa.

"Jadi sebelum jawatankuasa ini bersidang, saya (Speaker) tidak boleh mendahului keputusan daripada laporan yang bakal dibuat oleh jawatankuasa ini dan dengan itu saya tidak boleh buat keputusan sebelum jawatankuasa itu yang mungkin selepas ini akan dilaporkan kepada Dewan untuk diputuskan," katanya.

Artikel Lain