suria

Calon Pemuda Umno mahu SPRM percepat siasatan rasuah politik

PULAU PINANG: Ketiga-tiga calon yang bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti akhir bulan ini menyifatkan tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dua pegawai kanan seorang menteri berhubung dakwaan rasuah politik, sebagai langkah awal yang efisyen.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, SPRM perlu mempercepatkan siasatan berhubung dakwaan rasuah politik sebelum bermulanya pemilihan parti.

"Jika siasatan dilakukan dengan cepat ia dapat membersihkan nama baik Umno sekaligus menggelak pembaziran masa dan wang jika terdapat pemimpin tertinggi parti terlibat," katanya kepada pemberita selepas majlis memperkenalkan calon Pemuda yang bertanding pada pemilihan parti itu.

Beliau diminta mengulas laporan akhbar semalam yang menyebut dua pegawai kanan seorang menteri disiasat oleh SPRM berhubung dakwaan terbabit dalam rasuah politik, menjelang pemilihan Umno akhir bulan ini.

Menurut laporan kedua-dua yang disiasat itu yang masing-masing bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Anggota Parlimen, dibebaskan dengan jaminan SPRM, selepas keterangan mereka diambil.

Mukhriz berkata, SPRM perlu segera bertindak jika mempunyai bukti kukuh berhubung dakwaan itu bagi mengelak perwakilan memilih calon yang sanggup menggunakan taktik kotor untuk kepentingan diri.

"Bukannya kami tidak sayang dengan individu itu tetapi nama baik parti perlu diutamakan.

"Jika benar-benar pemimpin tertinggi terbabit, adakah perlu diadakan pemilihan sekali lagi? Ia hanya membazir masa dan wang," katanya yang mahukan pemilihan parti dilaksanakan dengan bersih dan telus.

Naib Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, Lembaga Disiplin Umno juga berperanan sebagai rujukan utama apabila SPRM menerima aduan rasuah berkaitan pemilihan parti.

"Kita berterima kasih kepada pihak SPRM kerana prihatin terhadap pemilihan Umno dan saya percaya Lembaga Disiplin Umno adalah tempat rujukan utama untuk keskes sebegini kerana peranan itu telah dimainkan lembaga itu sejak ia ditubuhkan," katanya.

Sementara itu, Datuk Seri Dr. Mohamad Khir Toyo berkata, semua pihak perlu memberi kerjasama kepada suruhanjaya itu dalam usaha membendung rasuah politik daripada menular dalam parti.

Beliau berkata, jika seseorang calon itu terlibat dalam rasuah politik, beliau terpaksa menerima hakikat dan bersedia dikenakan tindakan undang-undang dan tatatertib parti. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain